fbpx
Razarudin (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas bernilai RM1.9 juta sambil diperhatikan Ayob Khan (kiri) pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. FOTO: RAJA JAAFAR ALI

Sorok heroin RM1.9 juta bawah ikan sejuk beku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan menyembunyikan heroin dibawah timbunan ikan sejuk beku seberat 1.3 tan dibongkarkan polis dalam empat serbuan berasingan pada 6 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sindiket yang telah beroperasi sejak akhir tahun lalu itu mensasarkan pasaran Hong Kong.

Menurut beliau, empat serbuan yang dijalankan di Kajang, Gelang Patah dan Pekan Nanas menyaksikan seramai 12 individu termasuk seorang wanita berjaya ditahan.

“Mereka yang ditahan itu berusia antara 36 hingga 53 tahun dan telah dikenakan reman selama tujuh hari hingga 13 November ini untuk membantu siasatan.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dadah yang dibungkus nipis sebelum diletakkan dibahagian bawah tong ikan sejuk beku untuk dieksport menggunakan MASKargo ke Hong Kong.

“Berdasarkan siasatan, rampasan yang melibatkan 20.41 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM1.9 juta itu merupakan kali kesembilan sindiket berkenaan membuat penghantaran ke Hong Kong,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Razarudin turut memberitahu, walaupun jumlah rampasan yang dibuat kecil, namun sindiket ini merupakan pengedar dadah dengan rangkaian antarabangsa, dimana mereka turut mendapat permintaan daripada sindiket lain di Australia.

“Modus operandi ini juga merupakan yang pertama kali dikesan dimana mereka membawa dadah berkenaan masuk melalui sempadan utara tanah air, sebelum dibawa ke sebuah rumah di Pekan Nanas, Pontian untuk dibungkus dan dihantar ke Hong Kong melalui MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Dadah berkenaan juga dibungkus dengan bungkusan nipis seberat antara 270 gram hingga 275 gram setiap satu. Teknik berkenaan membolehkan mereka melepasi saringan pihak MASKargo kerana sukar dikesan.

“Pembekal dadah bagi sindiket ini juga telah dikenal pasti dan siasatan lanjut masih berjalan,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN