JEMPOL – Hajat seorang kontraktor mengutip buah sawit di Bahau, di sini, untuk menambah pendapatan lebur apabila dia rugi hampir RM100,000 terpedaya dengan tawaran kerja palsu di media sosial Facebook.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, mangsa iaitu lelaki berusia 21 tahun turut membuat pinjaman dengan kakaknya sebanyak RM25,000 untuk tujuan pekerjaan yang membabitkan pembelian aplikasi secara dalam talian.
“Pada 6 November lalu, mangsa telah melayari laman Facebook terus klik ke nombor yang diberikan pautan Facebook tersebut.
“Mangsa terus berhubung di WhatsApp dan individu yang dihubungi mengajak mangsa menyertai pekerjaan akan mendapat pendapatan yang lumayan. Mangsa diminta untuk muat naik aplikasi dan mendaftar.
“Kerja mangsa adalah untuk membeli barang yang ada diiklankan di dalam aplikasi tersebut dan buat bayaran di Ejen Customer Service di WhatsApp Setiap barang yang pengadu perlu beli pengadu akan berurusan dengan Ejen Customer Service tersebut dan mendapat point yang merupakan komisen buat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, mangsa diminta untuk melakukan 60 kali kerja pembelian barangan yang ditetapkan dan telah selesai membuat kerja berkenaan dari 6 November hingga 8 November dengan nilai kerugian sebanyak RM99,855.
Menurutnya, semua komisyen yang dijanjikan kepada mangsa adalah sebanyak RM147,433.00 dan wang tersebut sedang diproses untuk dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa.
“Ejen memaklumkan mangsa perlu membayar RM20,000 untuk bayaran proses ini bagi mendapatkan jumlah wang tersebut. Mangsa mula rasa tertipu dan membuat laporan polis semalam untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawak Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kita menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan urusan secara dalam talian sahaja terutamanya apabila membabitkan jumlah wang yang besar bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – K! ONLINE














