Oleh YATIMIN ABDULLAH
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi suku akhir Piala Malaysia bukan tugas mudah buat barisan pemain pasukan itu.
Mora berkata, umum mengetahui bahawa KDA FC merupakan antara pasukan yang kuat dalam saingan Liga Malaysia untuk musim ini.
“Jadi, kami akan cuba bermain dengan gaya tersendiri pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aksi terakhir Kumpulan D, Piala Malaysia menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Dalam perlawanan itu, JDT merakam kemenangan bergaya 4-0 menewaskan Kelantan FC.
Gol-gol JDT dijaringkan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-48, Leandro Velazquez (m-59), Guilherme de Paula (m-61) dan Shahrul Saad (m-90).
Mengulas lanjut mengenai kemenangan itu, Mora memberitahu, dia berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan oleh barisan pemain JDT ketika mereka mudah menjinakkan Kelantan FC.
Katanya, barisan pemain JDT telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu untuk mengekalkan rekod bersih dalam saingan peringkat kumpulan.
Sementara itu, penolong jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengakui bahawa anak-anak buahnya berdepan masalah kepenatan dalam perlawanan tersebut menyebabkan mereka gagal memberikan tentangan sebenar kepada JDT.
Bagaimanapun, beliau tetap memuji aksi yang dipamerkan oleh para pemainnya terutamanya barisan pemain tempatan.














