Sebahagian PATI yang ditahan pihak berkuasa dlaam operasi di Kuala Selangor baru-baru ini.

Sindiket licik Ibu Ani terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kegiatan sindiket penyeludupan pendatang ­asing tanpa izin (PATI) didalangi wa­nita Indonesia dikenali Ibu Ani akhirnya tumpas dalam operasi bersepadu oleh Maritim Malaysia (APMM) pada Jumaat lalu.

Suspek berusia 56 tahun yang mempunyai dokumen sah itu diberkas pada pukul 5 pagi di sebuah rumah kedai di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Penahanan dalang sindiket itu adalah hasil kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Ma­ritim Ibu Pejabat Maritim Putrajaya dan Unit Perisikan Maritim Selangor memintas 25 PATI yang ingin keluar dari negara ini secara haram di pesisir pantai Sungai Janggut, Kuala Selangor baru-baru ini.

Turut ditahan adalah tiga tekong darat di lokasi sama dan tiga tekong laut di Pulau Angsa. Kesemua yang ditahan termasuk PATI berusia 20 hingga 60 tahun.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, siasatan awal mendapati suspek telah mempromosikan trip perjalanan keluar dan masuk ke negara ini menggunakan aplikasi media sosial termasuk kumpulan WhatsApp.

ROSLI menerangkan lokasi yang digunakan oleh sindiket untuk menyeludup PATI.

“PATI yang berjaya keluar atau masuk secara haram kemudian akan menghantar video dalam kumpulan WhatsApp berkenaan.

“Taktik itu bertujuan menarik minat PATI lain untuk menggunakan perkhidmatan Ibu Ani dengan setiap individu dikenakan bayaran RM2,000,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, bayaran ter­sebut merangkumi kos pengina­pan, makan dan minum serta penghantaran ke tempat pe­lepasan untuk diseludup.

Kata Rosli, jumlah bayaran yang dikenakan itu meningkat berbanding sebelum ini iaitu pada kadar RM1,200 hingga RM1,500 susulan permintaan tinggi dengan pembukaan sektor ekonomi semula.

Kata beliau, sindiket didalangi Ibu Ani dipercayai telah wujud sejak tiga tahun lalu dengan kembali aktif sejak empat bulan lalu terutamanya dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ibu Ani yang telah berada di negara ini lebih 10 tahun turut menguruskan perjalanan pulang warga Indonesia secara sah.

ROSLI (kanan) menunjukkan kapal yang digunakan oleh sindiket untuk membawa masuk dan keluar PATI selepas sidang akhbar di Pelabuhan Klang semalam. – Zulfadhli Zaki

Menjelaskan modus operandi sindiket itu, Rosli berkata, mereka akan berhubung menerusi Whats­App, rakan-rakan dan Facebook sebelum dipindahkan ke rumah transit jenis flat dan menggunakan perkhidmatan

e-hailing ke transit kedua sebelum berkumpul di pantai untuk menaiki bot tekong.

“Mereka kemudiannya akan dihantar ke rumah pengapungan atau transit kedua dalam tempoh enam hingga 24 jam sebelum aktiviti penyusupan itu berlaku melibatkan tekong laut,” katanya.

Jelas beliau, lokasi penyusupan yang dikenal pasti adalah di Sungai Janggut, Jeram di Kuala Selangor, Banting dan Jugra di Kuala Langat selain Sekinchan dan Sungai di Sabak Bernam.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket-sindiket PATI ini menggunakan warga-warga Indonesia yang tinggal di negara ini melebihi 10 tahun dalam membawa masuk dan keluar PATI dari negara tersebut.

“Mereka dipercayai menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka dalam kalangan PATI yang baharu selain sokongan daripada tekong-tekong dari Indonesia,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN