RANTAU PANJANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) terpaksa mengejar sebuah lori yang membawa sebanyak tujuh ekor lembu seludup selama 20 minit sebelum menahan kenderaan itu di Taman Purnama Lubok Jong di sini semalam.
Rampasan lembu baka Brahman bernilai RM88,200 itu dilakukan selepas melihat lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah melihat lori itu dipandu dari arah bulatan Pohon Tanjong menghala ke Repek.
Menurutnya, anggota PGA terus mengekori lori berkenaan dan telah mengarahkan pemandu berhenti bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun pemandu lori itu telah bertindak memecut laju bagi mengelakkan dicekup anggota PGA. Selepas 20 minit melarikan diri, pemandu lori itu kemudian bertindak menghentikan kenderaan secara tiba-tiba di tepi jalan.
“Pemandu lori itu kemudiannya telah bertindak melarikan diri ke dalam semak. Anggota PGA telah berusaha mengejar lelaki itu, namun gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azhari memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menjumpai tujuh ekor lembu baka Brahman dipercayai telah diseludup dari negara jiran. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














