fbpx
Gambar hiasan

Tunggu tahun depan baru suntik vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan antivaksin mempunyai seribu satu alasan sebagai hujah untuk menyokong tindakan mereka dan salah satunya ialah belum bersedia untuk mengambil suntikan imunisasi Covid-19 kerana bimbang akan kesan sampingannya.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Cikgu Ani, 40-an berkata, dia mahu mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan terjadi kepada orang-orang yang telah mengambil vaksin.

Katanya, begitu banyak perkara negatif yang tersebar sehingga dia menjadi takut kerana termakan dengan dakyah-dakyah karut mengenai mana-mana vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca mahupun Sinovac.

“Saya bukan antivaksin, cuma belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada tahun ini. Saya masih khuatir kerana bimbang jika kesan sam­pingan yang teruk berlaku ke atas diri saya.

“Saya tunggu sehingga akhir tahun, jika tiada sebarang laporan mengenai kesan sampingan vaksin, saya akan ambil tahun depan. Saya difahamkan kesan sampingan vaksin bukan boleh dilihat dalam tempoh singkat,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Tambahnya, tiada siapa yang akan bertanggungjawab jika kesihatannya merosot akibat vaksin dan jika dia tidak lagi mampu bekerja bagi menyara keluarga.

“Saya lihat borang vaksin ada minta penerima menandatangani surat kebenaran yang bermakna segala risiko perlu ditanggung sendiri. Ini sangat menakutkan,” katanya.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Epul, 37, berkata, dia masih ragu-ragu berhubung hukum vaksin sama ada halal atau haram.

“Lagi pun, kalau ambil vaksin tetap juga boleh dijangkiti Co­vid-19. Saya amat berhati-hati kerana banyak rakaman video oleh ilmuan agama yang mempersoalkan tentang hukum penghasilan vaksin,” katanya.

Tambahnya, dia sentiasa memastikan diri tidak dijangkiti dengan mengamalkan prosedur operasi standard dan tetap berkeras tidak akan mengambil vaksin dalam tempoh terdekat walau apa keadaan sekalipun.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Mikrobiologi ­Institut Sains Bio­logi Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Jasmine Elanie Khairat berkata, golongan antivaksin berisiko menyebarkan wabak Covid-19 berbanding mereka yang telah divaksin.

“Ia bukan cakap kosong ke­rana telah dibuktikan dengan kajian oleh Jawatankuasa Pusat Pencegahan dan Kawalan Pe­nyakit.

“Sejak varian Delta menjadi virus dominan, mereka yang tidak divaksin adalah lima kali lebih berisiko untuk dijangkiti Co­vid-19 berbanding mereka yang telah lengkap divaksin,” katanya.

Menurut Jasmine, mereka yang tidak divaksinkan adalah 10 atau 11 kali ganda lebih ramai dimasukkan ke hospital dan me­ninggal dunia akibat Covid-19.

Dalam pada itu, pakar virologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip pula berkata, data menunjukkan mereka yang telah lengkap
vaksin mengalami penurunan viral load (kuantiti virus dalam badan) yang cepat apabila di­jangkiti.

“Pesakit yang ada vaksin tidak memerlukan rawatan di hospital. Tempoh kebolehan jangkitan turut berkurang berkurang kepada enam hari berbanding 18 hari sekiranya tidak divaksin dan sebab itu dia bukan bertindak sebagai penyebar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN