TINGGAL berjauhan dengan suami, biasanya hubungan pasangan menjadi lebih erat kerana tuntutan rindu membuatkan mereka berkomunikasi secara maya hampir setiap hari tanpa mengira siang atau malam.
Namun, ada juga kisah pasangan yang tinggal berjauhan tidak berlaku sedemikian kerana ada salah seorang daripada mereka yang membuat onar dengan berlaku curang dan mencari kekasih gelap sebagai teman berhibur.
Dari Mahkamah Syariah minggu ini memaparkan kisah sepasang suami isteri yang tinggal berjauhan ketika PKP bercerai disebabkan suaminya menjalinkan hubungan intim dengan kekasihnya.
—————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja memberi kesan dari aspek kesihatan dan ekonomi, malah turut menyebabkan kemusnahan rumah tangga sebagaimana yang terjadi kepada pasangan Mira dan Alan (bukan nama sebenar).
Mereka berdua tidak tinggal bersama kerana masing-masing bekerja di negeri berlainan. Mira di utara tanah air, manakala Alan di ibu kota.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menyukarkan kami untuk bertemu.
“Sebelum ini, selalunya suami saya akan datang bertemu dengan saya dan ada masanya pula saya yang akan pergi ke tempatnya,” kata Mira kepada K2.
Walaupun tinggal berjauhan, Mira tidak menaruh sebarang syak wasangka kepada suaminya itu.
Mira menganggap suaminya seorang yang setia meskipun dia masih belum boleh mengurniakan cahaya mata buat suaminya dan mereka telah melayari bahtera rumah tangga hampir empat tahun.
Namun, ketika PKP, suaminya itu sudah jarang untuk datang menemuinya seperti sebelum ini dan memberi alasan rumit untuk memohon kebenaran rentas negeri daripada pihak berkuasa.
“Saya mengerti akan hal itu dan saya memahami jika dia tidak boleh untuk datang menemui saya.
“Tetapi ada perkara yang membuatkan saya berasa suatu yang tidak kena dengan suami saya apabila dia sudah jarang berhubung dengan saya melalui panggilan ataupun WhatsApp,” kata Mira.
Tambahnya, suaminya itu memberi alasan bahawa dia sibuk dengan urusan kerja.
Menyedari akan hal itu, Mira sendiri mengambil keputusan untuk pergi bertemu dengan suaminya lalu mengambil cuti selama hampir seminggu.
Pada mulanya, Alan menghalang kedatangan Mira dengan mengatakan kononnya dia yang akan datang mengunjungi Mira pada waktu terdekat.
Pun begitu, Mira tetap dengan keputusannya lantas pergi untuk bertemu dengan Alan.
Di kediaman suaminya, Mira melihat suaminya itu sering bersama telefon pintarnya dan sering tersenyum bersendirian.
Namun, semua perilaku sebenar suaminya terbongkar apabila dia mengemas bilik Alan dan terjumpa sebuah telefon pintar yang disembunyikan di dalam sebuah kotak.
“Pada ketika itu, suami saya telah keluar bekerja. Saya mengambil telefon pintar itu dan cuba membukanya. Pada mulanya saya tidak boleh membukanya kerana memerlukan kata laluan.
“Tetapi setelah beberapa kali saya mencuba dan meletakkan kata laluan yang pernah digunakan suami saya akhirnya saya berjaya membukanya,” ujar Mira.

Mira terus membuka aplikasi WhatsApp pada telefon pintar itu dan dia terkejut melihat perbualan suaminya dengan seorang wanita.
Hatinya remuk membaca perbualan mereka itu yang bukan sahaja seperti orang tengah bercinta, malah menunjukkan mereka seolah-olah pernah bersama melakukan hubungan intim.
Selain itu, Mira turut membuka galeri gambar di telefon pintar itu dan dia amat terkejut melihat kemesraan mereka berdua.
“Saya terus menghubungi nombor wanita itu untuk meminta penjelasan. Pada mulanya dia menafikannya.
“Setelah didesak beberapa kali dengan bukti perbualan mereka, wanita itu akhirnya mengaku mempunyai hubungan dengan suami saya dan mereka baru sahaja berkenalan,” jelasnya.
Mira begitu kecewa dan marah dengan kecurangan yang dilakukan suami di belakangnya.
Apabila Alan pulang kerja, Mira menunjukkan semua bukti yang ditemukannya lalu meminta penjelasan.
Cerita Mira, suaminya amat terkejut, namun tidak berdaya berbohong lalu mengakui dia menjalinkan hubungan dengan wanita itu.
“Suami saya memohon maaf dan minta diberi peluang kedua. Dia berkata perkenalan mereka berdua berlaku secara tidak sengaja serta sekadar untuk menghilangkan rasa bosan kerana kami tinggal berjauhan.
“Saya terlalu kecewa. Apa yang saya tidak boleh maafkan adalah kerana mereka telah terlanjur dan itu yang membuatkan saya tidak boleh menerimanya lagi,” ulasnya.
Mira kemudian meminta suaminya melepaskannya kerana dia tidak boleh memaafkan perbuatannya itu. Suaminya tetap tidak mahu melepaskan Mira dan merayu diberi peluang kedua.
“Saya rasa terlalu sakit diperlakukan sedemikian. Saya kemudian menuntut fasakh dan akhirnya kami sah berpisah di mahkamah syariah,” jelasnya.














