PETALING JAYA – Selepas dua bulan putus cinta, nama pelakon Emma Maembong dan bekas kekasihnya, DJ Kidd kembali menjadi bualan netizen apabila tular foto mereka berdua-duaan dalam media sosial.
Menerusi foto yang dimuat naik oleh pemiliki akaun Threads dikenali sebagai @engkusalwani, Emma atau nama penuhnya Fatimah Rohani Ismail, 33, dilihat diapit erat wanita tersebut dan DJ Kidd.
Rakaman foto tersebut menjadi tumpuan ramai susulan DJ Kidd pada April lalu memaklumkan, status hubungannya dengan Emma bukan lagi pasangan kekasih.
Rata-rata netizen menzahirkan persoalan sama ada mereka sudah kembali bersama bahkan ada yang turut gembira sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku.
Dakwaan hubungan Emma dan DJ Kidd kembali bertaut apabila Engku Salwani menulis kapsyen menggelar mereka sebagai pasangan kekasih.

“Love birds’ Dj Kidd, Emma Maembong,” tulisnya.
Sementara DJ Kidd pula hanya meninggalkan komen dengan emoji berbentuk hati berwarna putih.
Sebelum ini, Emma pernah mengakui sedang berkawan rapat dengan DJ Kidd, sekali gus mencetuskan perhatian ramai sejak setahun lalu.
Namun, pada Mac lalu, DJ Kidd dalam satu hantaran Instagram memberitahu dia tidak lagi bersama Emma dan meminta berhenti bertanya mengenai keberadaan Emma kepadanya. Pelakon drama 1000 Tahun itu juga mengakui hubungannya dengan DJ Kidd juga sudah berakhir dan masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Dia juga terkilan apabila lelaki itu terlalu cepat membuat pengakuan dalam media sosial.– KOSMO! ONLINE.














