fbpx
JAGA adab dan tidak perlu mengeluarkan kata keji dan kesat bila melancong ke negara orang. -GAMBAR HIASAN

Sekarang siapa yang ‘busuk’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pepatah Melayu ada menyebut, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ungkapan itu mungkin kedengaran ‘lapuk’, namun maknanya kekal relevan terutama apabila semakin ramai rakyat Malaysia berpeluang mengembara ke luar negara.

Insiden membabitkan sekumpulan pelancong Malaysia yang didakwa memperlekehkan penduduk tempatan ketika melancong di China sepatutnya menjadi pengajaran buat semua. Walaupun hanya melibatkan segelintir individu dan siasatan lanjut wajar dilakukan bagi memastikan konteks sebenar rakaman itu, kesan yang ditinggalkan jauh lebih besar daripada sekadar kandungan media sosial.

Dalam era digital, sebuah video boleh tersebar seantero dunia dalam beberapa minit. Apa yang dianggap sebagai gurauan segelintir pihak mungkin diterjemahkan sebagai penghinaan oleh masyarakat lain.

Lebih membimbangkan, kesilapan beberapa individu sering kali menyebabkan seluruh rakyat sesebuah negara menerima tempiasnya.

Hakikatnya, setiap rakyat Malaysia mencerminkan identiti negara. Pasport yang dipegang bukan sekadar dokumen perjalanan, tetapi lambang kewarganegaraan.

Tingkah laku, tutur kata dan cara seseorang berinteraksi dengan masyarakat setempat akan membentuk persepsi orang luar terhadap Malaysia.

Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang kaya dengan nilai kesopanan, hormat-menghormati dan kepelbagaian budaya. Nilai itu tidak seharusnya ditinggalkan sebaik sahaja melangkah keluar dari lapangan terbang. Sebaliknya, ia perlu menjadi identiti yang dibawa bersama ke mana sahaja kita pergi.

Perbezaan budaya, gaya hidup, makanan dan bahasa masyarakat di negara lain bukan alasan untuk memperlekehkan mereka. Apa yang dianggap biasa di Malaysia mungkin berbeza di negara lain, begitu juga sebaliknya. Perbezaan itulah sebenarnya yang menjadikan pengalaman melancong lebih bermakna.

Melancong bukan sekadar merakam gambar di lokasi menarik atau membeli-belah. Ia membuka peluang memahami budaya baharu, menghargai cara hidup masyarakat lain dan mempelajari nilai yang mungkin tidak terdapat di negara sendiri. Jika seseorang melancong hanya untuk mencari kelemahan orang lain, tujuan sebenar pengembaraan itu sudah tersasar.

Media sosial pula menjadikan cabaran ini lebih besar. Demi mengejar tontonan, tanda suka dan jumlah pengikut, ada yang sanggup menghasilkan kandungan bersifat provokatif atau memalukan orang lain. Kandungan sebegini mungkin meraih perhatian bersifat sementara, tetapi natijahnya terhadap imej diri dan negara boleh berpanjangan.

Dalam hubungan antarabangsa, diplomasi bukan hanya digerakkan oleh kerajaan. Rakyat biasa juga memainkan peranan sebagai ‘duta kecil’ negara. Setiap senyuman, ucapan terima kasih, sikap bertolak ansur dan rasa hormat yang ditunjukkan kepada masyarakat luar sebenarnya membantu memperkukuhkan imej Malaysia di mata dunia.

Adab tidak mengenal sempadan. Sama ada berada di Kuala Lumpur, Beijing, Tokyo, London atau mana-mana pelosok dunia, prinsip menghormati orang lain tetap sama. Jika ingin dihormati sebagai rakyat Malaysia, mulakan dengan menghormati masyarakat negara yang kita kunjungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN