PENDANG – Berat ujian yang terpaksa ditanggung seorang lelaki apabila kini terpaksa membesarkan anak seorang diri selepas isterinya berusia 26 tahun meninggal dunia kelmarin akibat jangkitan Covid-19.
Allahyarham Izzati Najah Amran menghembus nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang pada pukul 4 petang selepas dua hari melahirkan bayi perempuan mereka.
Lebih memilukan kerana Covid-19, anak kecil yang diberi nama Lilly Elleyna itu tidak dapat merasai pelukan dan kasih sayang daripada wanita yang melahirkannya.
Menurut Mohd. Aiman Syakir, 26, dia dan isterinya ke hospital berkenaan pada Khamis lalu selepas Izzati yang sudah 38 minggu menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin.
“Isteri saya sudah rasa sakit menyebabkan kami ke hospital, bagaimanapun dia perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk wad.
“Bagaimanapun isteri saya didapati positif Covid-19 dan doktor terpaksa mengeluarkan bayi dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bercerita lanjut, Mohd. Aiman berkata, isterinya selamat melahirkan bayi seberat 3.02 kilogram pada pukul 5 pagi, Sabtu lalu, namun tidak dibenarkan untuk melihat anaknya sebelum kesihatannya merosot.
“Dia ditidurkan selepas oksigennya turun kepada 30 peratus sebelum disahkan meninggal dunia semalam,” ujarnya.
Aiman yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang berkata, bayi mereka masih ditempatkan di Hospital Pulau Pinang dan dalam keadaan sihat.
“Buat masa sekarang keluarga arwah isteri di Pendang akan menjaga anak kami memandangkan saya dan keluarga di Pulau Pinang perlu menjalani kuarantin,” jelasnya.
Tambahnya, arwah mahu menamakan anak mereka dengan nama Lilly Elleyna yang mana nama itu sudah ada sejak awal kehamilannya.
“Saya sedih kerana kehilangan arwah isteri ketika usia perkahwinan kami baru setahun lebih dan baru menerima kelahiran cahaya mata pertama.
“Saya reda dan perlu lebih kuat untuk menjaga anak pertama kami ini walaupun dia tidak sempat rasa kasih sayang ibunya. Saya juga berharap keluarga dapat mendoakan dan beri semangat kepada saya,” katanya.
Jenazah Allahyarham Izzati Najah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Tengah, Pendang dekat sini pada pukul 12 tengah malam semalam selepas selesai proses bedah siasat.














