fbpx
Gambar hiasan.

Suspek pecah rumah meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang suspek kes pecah rumah di Jalan Building Society di Taman Star di sini sekitar pukul 5 pagi semalam meninggal dunia selepas bergelut dengan penjaga kediaman berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 40 tahun berkenaan merupakan salah seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam kejadian pecah rumah itu.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5 pagi apabila dua suspek memasuki rumah tersebut melalui tingkap yang diumpil sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga rumah.

“Seorang suspek dipercayai berjaya melarikan diri manakala seorang lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah masalah saluran jantung tersumbat.

Mohd. Alwi berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 324 kanun keseksaan.

Beliau berkata, usaha menjejaki seorang lagi suspek yang masih bebas diteruskan pihak polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN