fbpx
Keadaan jalan yang sesak selepas asap tebal dikeluarkan sebuah kilang yang dipercayai memproses durian di Bentong semalam.

Jalan sesak, kilang durian keluarkan asap tebal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Pengguna jalan raya di daerah ini gempar selepas sebuah kilang dipercayai memproses durian sejuk beku mengeluarkan asap tebal di Jalan Bentong-Raub berhampiran Taman Desa Damai di sini semalam.

Kejadian selama kira-kira 30 minit pada pukul 5 petang itu menyaksikan asap putih memenuhi jalan raya dan menghalang pandangan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan kira-kira tiga kilometer.

Seorang pengguna jalan raya, Azrul Rizuan, 35, berkata, dia memberhentikan kenderaan kerana bimbang gas berkenaan berbahaya selain risiko berlaku letupan.

“Saya terkejut apabila semasa balik daripada kerja berlaku kesesakan dan saya melihat asap tebal di hadapan menyebabkan saya menunggu sehingga keadaaan reda.

“Kira-kira 20 minit barulah saya meneruskan perjalanan apabila asap sudah berkurangan dan orang ramai mula lalu membuatkan saya berasa selamat,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun berkata, beliau menerima laporan daripada penduduk yang menyatakan kejadian seperti itu telah berlaku dua kali.

Beliau yang juga pembantu khas bekas Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihak berkuasa perlu bertindak segera agar perkara seperti itu yang boleh membahayakan pengguna jalan raya tidak berulang kembali.

“Semasa kejadian, baru lepas hujan dan jalan adalah licin yang membahayakan pengguna jalan raya akibat kepulan asap yang menghalang penglihatan, saya difahamkan dalam kejadian sama sebelum ini pernah berlaku kemalangan akibat asap yang menghalang penglihatan.

“Saya juga mendesak pihak pengurusan kilang untuk mematuhi polisi operasi, janganlah disebabkan kepentingan diri membahayakan nyawa orang lain,”ujarnya.

Sementara itu usaha Kosmo! mendapat penjelasan daripada Jabatan Alam Sekitar gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN