SHAH ALAM – Sebanyak 71.2 peratus rakyat Selangor telah menerima sekurang-kurangya satu dos vaksin walaupun negeri ini mencatatkan kes tertinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berdasarkan pencapaian terkini apabila sejumlah 4.89 juta dos vaksin telah disuntik menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (PICK).
Katanya, menerusi SelVAX pula, tambahan sebanyak 225,628 dos telah disuntik.
“Sementara, 31.7 peratus bersamaan 1.51 juta individu pula telah lengkap dua dos vaksin di Selangor.
“Program vaksinasi yang sedang giat digerakkan di seluruh Selangor melalui PICK dan SelVAX akan memperlihatkan hasilnya menjelang September ini ke arah mewujudkan imuniti kelompok di kalangan rakyat Selangor seluruhnya,” katanya dalam akaun Facebook rasminya hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, beliau menekan keperluan seluruh jentera kerajaan negeri untuk menggembleng usaha ke arah memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan dalam norma baharu masa kini.
Ujarnya, penekanan itu menerusi amanat ringkas disampaikan beliau kepada semua pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri secara maya, pagi tadi.
“Pandemik Covid-19 telah mengasak kita untuk mengubah cara fikir dan cara kerja selain mendorong keperluan kerajaan negeri untuk menggiat usaha melipatgandakan hasil negeri.
“Justeru, inisiatif-inisiatif digitalisasi perkhidmatan awam mesti diperbanyakkan untuk mempermudahkan rakyat berurusan khususnya di era pandemik dan pasca pandemik,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri berpendirian tidak akan kompromi ke atas sebarang bentuk penyelewengan di setiap lapisan. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929