fbpx
PEKERJA yang mampu melaksanakan pelbagai kemahiran amat diperlukan bagi syarikat yang mempunyai pelbagai portfolio pendapatan. –GAMBAR HIASAN

K2

Pekerja multiskill ada kelebihan di masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh AFIZAN AMER

DUNIA pekerjaan di negara ini dan juga peringkat global akan terus mengalami perubahan berikutan penularan wabak Covid-19 yang tidak nampak tanda-tanda akan surut dalam tempoh terdekat.

Ramai penganalisis perkembangan pekerjaan berpendapat, individu yang tidak melengkapkan diri mereka dengan perubahan ini akan ketinggalan dalam persaingan dunia pekerjaan pada masa depan.

Selain itu, firma atau syarikat yang tidak bersedia dari segi kaedah pengurusan baharu juga bakal sukar untuk menyesuaikan diri suatu hari nanti.

Kini banyak webinar dianjurkan membincangkan tiga faktor utama yang terbukti memberi kesan positif kepada dunia pekerjaan semasa pandemik.

Antaranya, mempercepat proses transformasi digital, waktu kerja lebih fleksibel dan meningkatkan peluang untuk bekerja dari jarak jauh.

Jika kita lihat perkembangan sepanjang pandemik pada tahun 2020, generasi milenium akan menduduki lebih daripada 50 peratus tenaga kerja di rantau Asia Pasifik.

Kumpulan pekerja dengan tenaga kerja daripada generasi X, Y, dan Z yang mempunyai pelbagai keperluan dan kehendak baharu pula, syarikat akan menilai semula cara mereka melihat serta mengadaptasi teknologi di tempat kerja pada masa akan datang.

Ini bagi membolehkan mereka bekerja di mana saja dan bila-bila masa sahaja yang mereka mahukan.

Didorong terutamanya oleh peningkatan penggunaan teknologi pemangkin inovasi yang sangat pantas seperti Internet of Things (IoT) serta kecerdasan buatan (AI), kita mengharapkan satu kumpulan generasi pekerja yang berkemahiran tinggi dan berfikiran ke hadapan dapat dilahirkan oleh institusi pendidikan di negara ini.

Jika kita lihat trend transformasi korporat terkini untuk tahun 2020 hingga 2025, ia menekankan pelaksanaan sistem automasi penuh, pengalaman pekerja serta dorongan untuk memiliki kemampuan di luar industri teras, selain pengalaman untuk menjana sumber pendapatan baharu.

Untuk itu, kebanyakan syarikat akan memikirkan kembali masa depan industri mereka dan melabur dalam syarikat pemula atau syarikat yang dapat membantu ‘menghidupkan’ semula perniagaan teras mereka.

Mereka akan melaksanakan strategi mempelbagaikan portfolio pendapatan dan secara tidak langsung, memerlukan pekerja yang mampu mempamerkan kepelbagaian kemahiran.

Ini menuntut satu kefahaman yang jitu daripada para pekerja dan bakal graduan bahawa pekerja yang multiskill menjadi hala tuju syarikat seumpama itu.

Pada 2023, kita akan melihat lebih banyak syarikat terkemuka dunia yang akan menjana pendapatan daripada sumber-sumber di luar industri teras menggunakan kaedah pengurusan crowdsourcing.

Ini menuntut perubahan besar pemikiran tenaga kerja negara yang harus dipikul oleh penyedia teknokrat seperti institusi pengajian tinggi bagi membolehkan graduan hasilan mereka mendapat kerja dan berjaya dalam perniagaan berkeupayaan tinggi.

SYARIKAT tempatan perlu memanfaatkan teknologi digital untuk terus kekal bersaing pada masa depan. – GAMBAR HIASAN

Di samping itu, penerapan teknologi dan penyelesaian pintar memberikan syarikat tempatan kemampuan untuk mewujudkan tempat kerja lebih cekap pada masa depan untuk bersaing di peringkat global.

Dalam hal ini, syarikat tempatan perlu mengambil strategi holistik untuk memanfaatkan teknologi digital dalam tiga aspek penting iaitu pembangunan tempat, budaya dan tenaga kerja sehingga mereka dapat berubah menjadi syarikat pintar.
Namun, bukan mudah untuk melakukan transformasi digital pada pasca pandemik Covid 19.

Ini kerana, pelbagai cabaran termasuk tekanan perdagangan dan ekonomi yang semakin menghimpit perlu dihadapi.

Dalam perkembangan berkaitan, strategi terbaik untuk memberi pengalaman pelanggan terbaik dan mendapatkan nilai perniagaan maksimum mesti bermula dengan meningkatkan pengalaman pekerja.

Sebagai contoh, sebahagian besar transformasi di tempat kerja adalah mengenai pengkomputeran yang mana pelanggan mengharapkan pelbagai jenis kawalan di pelbagai peranti dan penyelesaian berasaskan teknologi.

Pada masa sama, perkembangan teknologi pula berubah dengan sangat cepat dan akan terus berkembang dari semasa ke semasa.

Ini akan mendorong produktiviti, kolaborasi serta kecekapan dalam perbagai cara untuk memberi yang terbaik kepada pelanggan.

—————————————————————————————————————————
AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN