fbpx

Covid-19 tak pilih bulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

PENURUNAN kes Covid-19 di Kelantan sejak beberapa hari lalu nyata memberi kelegaan kepada banyak pihak terutama dalam kalangan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Ketika jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini mencatatkan rekod iaitu sebanyak 9,020, kes di Kelantan juga meningkat secara mendadak dengan 907 kes iaitu kedua tertinggi selepas Selangor pada hujung bulan lalu.

Ketika itu, kes sporadik di Kelantan akibat ziarah raya sehingga menyebabkan tercetus beberapa kluster merupakan faktor utama peningkatan. Bagaimanapun, kes di Kelantan menurun apabila hanya 179 kes dicatatkan pada Ahad lalu.

Menyentuh mengenai Co­vid-19, mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai kemasukan kanak-kanak ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) apabila golongan itu tetap akan dimasukkan ke pusat kua­rantin jika dijangkiti.

Pertemuan dengan bekas pesakit Covid-19 yang hanya mahu dikenali sebagai Roslina, 49, meruntun jiwa saya apabila dia bersama empat anaknya berusia empat hingga 14 tahun dimasukkan ke sebuah PKRC di Kota Bharu bulan lalu.

Melalui perbualan kami, keempat-empat anaknya dijangkiti Covid-19 apabila wabak itu dibawa oleh dia sendiri ke rumah dari tempat kerja. Dia tidak menyangka  anak-anaknya menjadi mangsa Covid-19, namun mujur ketika itu dia dapat bersama-sama dan menjaga mereka ketika dalam tempoh kuarantin.

Meskipun dapat menjaga anak-anaknya di PKRC, Roslina melihat empat anak itu seakan-akan tidak mengerti tujuan mereka berada di pusat kuarantin, malah sering merengek untuk pulang ke rumah bertemu bapa mereka yang tidak dijangkiti Co­vid-19.

Mengulas mengenai kema­sukan kanak-kanak ke PKRC, Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Zurairie Mohd. Zubir berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah juga terdedah kepada Covid-19, malah Kelantan pernah mencatatkan kemasukan seramai lebih 100 orang golongan itu ke pusat kuarantin.

Katanya, peningkatan kema­sukan kanak-kanak ke PKRC itu didapati meningkat pada awal bulan lalu, namun mula menunjukkan penurunan ketika ini.

“Kelantan mempunyai seba­nyak 16 buah PKRC ketika ini dan kita pernah menerima kemasukan seramai 142 orang kanak-kanak di semua PKRC itu dalam tempoh sehari.

“Jumlah itu menunjukkan pe­ningkatan selama tiga hari apabila daripada bilangan 142 orang itu meningkat kepada 170 sehingga 172 orang pada tarikh 1 hingga 4 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Zurairie, peningkatan kanak-kanak di PKRC berlaku selepas ibu bapa atau ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 atau bergejala kerana menjadi kontak rapat kepada individu yang telah dijangkiti.

Katanya, pertambahan jumlah kanak-kanak di PKRC di Kelantan baru-baru ini juga menunjukkan bahawa mereka juga terdedah dengan jangkitan Covid-19 sama seperti orang dewasa.

Menurutnya, segala kemudahan disediakan untuk kanak-kanak di PKRC agar mereka berasa selesa sepanjang 14 hari menjalani tempoh kuarantin sekali gus dapat menyembuhkan golongan itu daripada jangkitan Covid-19.

Kesimpulannya, golongan dewasa atau ibu bapa sendiri perlu menjaga prosedur operasi stan­dard kerana mereka memahami situasi, namun tidak bagi kanak-kanak kerana mereka tidak mengerti untuk mengharungi pandemik ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI