JOHOR BAHRU – Rata-rata ibu bapa menyambut baik keputusan kerajaan yang melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun mendaftar akaun media sosial terutama dalam melindungi golongan itu daripada pelbagai ancaman buli, gangguan seksual dan masalah kesihatan mental.
Menurut mereka, langkah itu adalah sebagai ‘pelindung digital’ bagi memastikan kesejahteraan generasi muda yang semakin terdedah kepada penggunaan gajet tanpa kawalan.
Suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 36, berkata, kanak-kanak kini terlalu mudah leka melayari media sosial sehingga menghabiskan banyak masa di hadapan skrin sehingga menjejaskan fokus terhadap pelajaran serta aktiviti harian.
“Anak-anak sekarang kalau pegang telefon memang susah nak berhenti. Ada yang sampai lewat tidur sebab terlalu asyik bermain media sosial.
“Selain itu, mereka mudah terpengaruh dengan kandungan tidak realistik di media sosial sehingga membandingkan diri dengan orang lain dan hilang keyakinan diri,” katanya.
Menurutnya, media sosial bagaimanapun masih mempunyai manfaat sekiranya digunakan secara terkawal dengan pemantauan ibu bapa.
“Ia boleh jadi platform pembelajaran dan bantu anak-anak meneroka kreativiti selain berkongsi minat yang baik,” ujarnya.
Pekerja swasta, Muhammad Asyraf Abdul, 46, pula berkata, larangan tersebut perlu dilaksanakan secara tegas memandangkan risiko keselamatan dalam talian kini semakin membimbangkan.
“Sekarang ini macam-macam boleh berlaku di media sosial termasuk kes penyamaran dan penjenayah pedofilia yang menyasarkan golongan kanak-kanak,” katanya.
Di Langkawi, ibu bapa menganggap penggunaan media sosial dalam kanak-kanak yang tidak dikawal sebaiknya menyebabkan golongan itu cenderung melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya.
Seorang ibu, Rozana Abdul Rahman, 30, berkata, kandungan media sosial tidak mempunyai had dan boleh diakses oleh anak-anak sehingga mempengaruhi pemikiran mereka.
“Dengan adanya sekatan media sosial untuk anak-anak, ibu bapa tidak perlu risau anak-anak terpengaruh dengan kandungan yang tidak wajar,” katanya.
Seorang ibu, Nurasyikin Arzahari, 27, berkata, penggunaan internet dan telefon bimbit anak-anak juga perlu dikawal rapi dan dihadkan.
“Ada aplikasi yang boleh mengehadkan waktu penggunaan peranti secara automatik dan ini akan membantu ibu bapa untuk memantau penggunaan media sosial.
“Selain media sosial, penggunaan Youtube walaupun yang dikhaskan untuk kanak-kanak juga perlu dipantau kerana ada banyak kandungan yang tidak elok turut boleh ditonton oleh anak-anak,” katanya.















