fbpx
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang melarang mereka yang berumur bawah 16 tahun untuk mempunyai akaun media sosial. Gambar Janaan AI

Sekatan media sosial tidak akan berjaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mulai semalam, rakyat Malaysia perlu membuat pengesahan umur sebelum dibenarkan membuka akaun media sosial. Ini susulan pengenalan dua kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang melarang mereka yang berumur bawah 16 tahun untuk mempunyai akaun media sosial. Bagi yang sudah ada akaun, pemilik platform akan diberikan tempoh masa membuat proses pengesahan umur.

Dua kod itu ialah Kod Perlindungan Kanak-kanak dan Kod Pengurangan Risiko bertujuan memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak, mengurangkan risiko kandungan untuk menjadikan alam siber lebih selamat dan kanak-kanak tidak menjadi mangsa terutama buli siber, pedofilia, kandungan lucah dan ganas serta pemangsa dalam talian.

Semua media sosial utama seperti Facebook, Tik Tok, Instagram, X dan YouTube terlibat.

Seperti dijangka, ramai yang skeptikal terhadap usaha itu. Sudah terlambat. Dengan 28 juta pengguna media sosial, berapa lama hendak selesai? Tidak mungkin Gen Z akan akur sahaja. Tentu mereka mampu ‘mencari jalan’ untuk ada akaun sendiri. Itu antara persoalan yang dibangkitkan.

Mengambil contoh di Australia yang sudah lebih enam bulan melaksanakan larangan itu, kajian mendapati 60 peratus rakyat negara itu merasakan larangan itu tidak berkesan kerana ramai remaja berjaya mengelak daripada undang-undang. Mereka menggunakan VPN (virtual private network) atau beralih ke media sosial yang tidak dikawal selia. Perkara sama dijangka berlaku di negara ini.

Melaksanakan sekatan itu tidak mudah. Kerajaan sedar perkara itu. Mana mungkin perkara yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian tiba-tiba hilang. Berilah apapun alasan, sukar untuk mereka menerimanya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebahagian besar pengguna media sosial sudah ketagihan, bukan sahaja kanak-kanak dan remaja tetapi juga orang dewasa. Buktinya? Kajian menunjukkan secara purata rakyat Malaysia menghabiskan hampir tiga jam sehari melayari media sosial.

Melawan ketagihan sangat sukar. Kalau perokok perlukan keazaman kuat untuk berhenti, dalam isu media sosial, penguatkuasaan undang-undang perlu menjadi ‘keazaman’.

Namun, sampai bila kita mahu hidup remaja kita diatur oleh algoritma toksik. Dalam usia semuda itu, mereka sepatutnya menumpukan kepada pelajaran dan membina hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan-rakan, bukannya melekat dengan telefon atau tablet berjam-jam setiap hari.

Justeru, jangan mudah mengecam atau meremehkan usaha kerajaan menyekat akses media sosial kepada pengguna bawah 16 tahun. Usahlah berhujah tentang hak privasi dan kebebasan bersuara. Apatah lagi mendakwa langkah sekatan itu sebagai terlalu tergesa-gesa tanpa proses penilaian yang teliti dan berasaskan bukti.

Biarlah proses itu berjalan dan kita lihat apa yang berlaku seterusnya. Penambahbaikan pasti akan dilakukan seiring perkembangan semasa. Dalam masa sama, kerajaan tidak boleh bergantung kepada pengesahan umur, sebaliknya perlu tegas dalam memastikan setiap platform benar-benar bertanggungjawab terhadap kandungan mereka.

Bagi ibu bapa yang selama ini ‘pening’ dengan anak-anak yang asyik melekat pada skrin, ini mungkin penyelesaiannya walaupun tidak seratus peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN