fbpx
BAULU lapis berupa seperti kek.

Warisan baulu lapis Sijangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJELANG bulan Syawal, permintaan ke atas kuih-muih tradisional semakin meningkat ekoran rasanya yang istimewa dan meninggalkan nostalgia kepada yang biasa menikmatinya.

Kuih tradisional Melayu seperti kuih bangkit, kuih tat nanas, kuih semperit dan kuih baulu begitu sinonim dengan juadah sambutan Aidilfitri saban tahun.

Namun, ramai daripada generasi baharu keliru dengan kuih baulu yang sebenarnya memiliki pelbagai bentuk dan rasa.

K2 berkesempatan menemui pengusaha kuih baulu lapis baru-baru ini. Sebenarnya seumur hidup penulis hampir setengah abad, ini barulah kali pertama melihat dan merasai keenakannya.

Pengusaha baulu lapis dari Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor, Amirudin Talib, 57, dan isterinya, Rosliza Mat Saroni, 58, telah mengusahakan pembuatan kuih tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

Baulu lapis dikatakan merupakan resipi tradisi berasal dari kampung tersebut. Baulu itu tampak istimewa kerana berbentuk bulat dan leper sehingga kelihatan seperti kek.

AMIRUDIN dan Rosliza mengusahakan baulu lapis sejak 20 tahun lalu.

Difahamkan, kuih ini sukar didapati dan ramai orang bertumpu ke kampung itu untuk mendapatkannya. Apabila ditanyakan kepada penduduk kampung, ternyata pasangan berkenaan terkenal sebagai pengusaha kuih unik tersebut.

Menurut Amirudin yang bekerja sebagai kakitangan sebuah syarikat utiliti kebersihan, baulu lapis yang dihasilkan merupakan resipi ibu mertuanya dan rasanya yang sedap memerlukan adunan dengan sukatan yang tepat.

“Baulu lapis resipi ibu mentua saya ini ialah resipi turun-temurun. Bahan adunan yang diperlukan adalah seperti tepung gandum, telur dan gula yang diadun secukupnya.

“Saya boleh memaklumkan anda ramuan tetapi untuk anda membuatnya belum tentu menjadi kerana proses pembuatan kuih ini juga memerlukan pengalaman dan kemahiran yang dipupuk,” katanya ketika ditemui K2 di rumahnya baru-baru ini.

Proses pertama, jelas Amirudin ialah telur sebanyak 20 biji akan dipukul hingga kembang sebelum diadun dengan tepung dan gula.

Adunan tersebut jelasnya akan dikacau hingga sebati bersama air secukupnya sebelum dimasak.

“Proses membuat adunan inilah yang akan menentukan rasa baulu lapis kekal sama atau sebaliknya. Jika salah adun, baulu akan menjadi batat atau separuh masak. Kita yang membuat adunan, kita jugalah yang jadi pengawal kualitinya,” katanya.

Amirudin berkata, proses seterusnya adalah memasak adunan tersebut yang biasanya dilakukan pada sebelah malam memandangkan kawasan dapur tiada pendingin hawa dan melibatkan banyak asap.

KUIH ini berbentuk bulat dan leper sehingga turut dikenali sebagai waffle Melayu.

Katanya lagi, proses memasak melibatkan pembakaran sabut kelapa yang diletakkan di atas penutup periuk tembaga bagi memastikan pembakaran menyeluruh.

“Kita sapu dahulu mentega sebagai lapis asas sebelum adunan dibakar bagi mengelak baulu lapis melekat.

“Di dalam bahulu lapis ini, saya turut meletakkan jem nanas yang dimasak sendiri bagi menjadikan kuih ini mempunyai rasa yang unik,” katanya.

Secara ringkasnya, acuan bulat digunakan untuk membentuk kepingan baulu sebelum dibentuk lapisan-lapisan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, baulu lapis boleh dimakan bersama aiskrim sebagaimana waffle yang mempunyai tekstur hampir sama.

“Ada orang memanggilnya waffle Melayu yang dimakan bersama aiskrim strawberi, blueberi atau lain-lain mengikut selera masing-masing.

“Biasanya kalau orang yang tidak biasa dengan baulu lapis mereka akan kata ia kek. Sedangkan ia baulu yang besar dan boleh juga diadun menjadi seperti kek buah,” katanya.

DISEBABKAN masalah penyakit mata yang dihidapi Rosliza, Amirudin kini banyak mengharapkan bantuan daripada anaknya untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Mengenai peralatan digunakan untuk memasak baulu lapis, Amirudin berkata, periuk tembaga yang dibelinya kini berharga RM400 berbanding 20 tahun lalu hanya RM80.

Penggunaan periuk tembaga jelasnya, menjadikan pembakaran baulu lebih cepat serta berkualiti.

“Sabut kelapa pula diperoleh dari sekeliling kampung atau dipesan daripada pembekal,” ujarnya.

Kongsinya, pada tahun lalu pesanan untuk Aidilfitri ialah sebanyak 500 biji. Namun, apa yang menyedihkan katanya, tahun ini hanya tinggal dia dan anak lelakinya yang membantu dan jumlah pesanan yang diterima mungkin akan dikurangkan.

“Menantu saya yang biasa membantu bersalin dan isteri saya pula terkena penyakit glaukoma yang menyukarkannya membantu memasak bahulu lapis.

“Selama ini kami sama-sama bertungkus-lumus menyiapkan pesanan. Tahun ini isteri saya diuji sakit mata, maka tempahan terpaksa dikurangkan,” katanya.

Harapan Amirudin, agar ada antara anak dan menantunya yang akan meneruskan legasi memasak baulu lapis secara tradisional tersebut agar kuih itu dapat dikekalkan zaman berzaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN