PUTRAJAYA – Jabatan Pertanian menyasarkan sebanyak 3,336 tan metrik buah mangga harumanis Perlis dapat dipasarkan secara dalam talian sehingga Jun depan dengan nilai jualan mampu mencecah RM66.9 juta.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mohd. Nasir Warris berkata, setakat ini, nilai jualan semasa merekodkan jumlah RM29.3 juta dengan melibatkan pengeluaran buah sebanyak 1,174.70 metrik tan dan dijangka akan terus ditingkatkan seiring pengeluaran buah berkenaan.
Menurutnya, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan buah berkenaan kini sudah mula dijual secara dalam talian walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Meskipun dalam tempoh PKP, namun dengan adanya platform yang disediakan ini membolehkan orang ramai menikmati buah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.
Beliau berharap orang ramai dapat terus memberikan sokongan kepada 2,415 petani di Perlis dengan membeli hasil tanaman mereka.
Katanya, buah mangga harumanis itu ditanam di ladang seluas 1,575 hektar dan daripada jumlah itu sebanyak 1,334 hektar sudah mula mengeluarkan hasil.
“Jumlah hasil yang dinyatakan ini bagaimanapun tidak termasuk dengan petani atau individu yang menanam pokok berkenaan di sekeliling rumah masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, bagi menggalakkan jualan mangga harumanis, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat kurier di negara ini bagi menghantar buah berkenaan kepada pembeli dalam keadaan yang masih segar.
“Kalau lihat pada tahun lalu ketika pertama kali jual secara dalam talian, buah yang tiba kepada pembeli sangat lewat serta ada yang menerima buah berkenaan dalam keadaan rosak.
“Berdasarkan pengalaman terdahulu, kita jalinkan kerjasama dengan syarikat kurier bagi menyediakan satu pengangkutan khas untuk menghantar mangga harumanis ini tanpa bercampur dengan barang penghantaran lain,” katanya. -K! ONLINE