JEMPOL – Dua beranak yang berdepan detik cemas selepas trak pikap yang dinaiki terjunam ke dalam sungai dihanyutkan arus kira-kira 500 meter sebelum diselamatkan di Kampung Langkap di sini semalam.
Ketika kejadian, pemandu Toyota Hilux berusia 54 tahun dan anaknya berusia 21 tahun dalam perjalanan pulang dari kebun durian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7 malam.
“Pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan kebun menyebabkan trak pikap tersebut tergelincir dan terjunam ke dalam sungai. Dua beranak tersebut dihanyutkan bersama kenderaan sejauh kira-kira 500 meter.
“Kedua-dua mangsa dilaporkan berjaya keluar dari trak pikap sebelum bantuan daripada pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! Online malam tadi melaprkan tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua beranak selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jalan Ulu Rokan, Kampung Orang Asli Langkap.- KOSMO! ONLINE














