BALING – “Jangan samakan Malaysia dengan Colombia, perbandingan itu tidak menggambarkan kedudukan sebenar Malaysia dari aspek keselamatan dan keamanan negara.
Demikian ujar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu kononnya Malaysia semakin menyerupai Colombia susulan kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan pelbagai kaedah, termasuk jet peribadi, kapal dan pesawat tentera.
“Penilaian terhadap tahap keamanan negara perlu dibuat berdasarkan indeks antarabangsa yang mengambil kira pelbagai indikator, bukan hanya berpandukan kes jenayah yang berlaku, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026.
“Biarlah badan antarabangsa yang membuat penilaian mengenai tahap keselamatan, keamanan dan ketenteraman negara kita,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Masjid Al Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Mukim Kupang, di sini hari ini.
Menurutnya, Indeks Keamanan Global mempunyai berpuluh-puluh indikator termasuklah berapa kerap berlaku demonstrasi, berapa banyak peruntukan untuk keselamatan, berapa banyak anggota keselamatan nisbah dengan penduduk, dan kesimpulannya negara ini berada pada kedudukan yang baik.
Malaysia berada di kedudukan kedua paling aman di Asia Tenggara selepas Singapura manakala ketiga di rantau Asia Pasifik selepas Singapura dan New Zealand.
“Oleh itu, saya meminta media turut memberi pengiktirafan terhadap komitmen dan keupayaan pasukan penguat kuasa dalam membanteras kegiatan jenayah, bila berlakunya kes tangkapan, jangan terus melihat seolah-olah kita sudah menuju ke arah Colombia.
“Alangkah baiknya kalau media memberi sokongan dengan melihat dari sudut komitmen dan kompetensi penguat kuasa negara kita dalam membanteras jenayah kerana media adalah pemain penting dalam mendidik masyarakat,” katanya.
Pada 24 Oktober lalu media melaporkan pihak berkuasa Indonesia merampas lebih dua tan dadah dianggarkan bernilai AS$300 juta (kira-kira RM1.3 bilion) menerusi dua operasi besar di Pulau Sumatera, termasuk menahan sebuah kapal tangki milik syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru.
Terdahulu, media turut melaporkan polis Laos merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis kristal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.
Terkini, pada 17 November lalu, 11 individu terdiri lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM. – KOSMO! ONLINE














