SEORANG penjual online warga Malaysia memarahi pengawal keselamatan wanita di Makro Sathorn, Bangkok. – THAIGER

Penjual online Malaysia desak pengawal keselamatan Thailand minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Seorang penjual dalam talian warga Malaysia menimbulkan kemarahan di Thailand selepas dia memarahi seorang pengawal keselamatan wanita di kedai pemborong Makro, Bangkok dan meminta pengawal keselamatan itu meminta maaf, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Pengawal tersebut memintanya untuk menghentikan siaran langsung (livestreaming) di dalam kedai berkenaan.

Kejadian berlaku pada 25 November lalu. Penjual wanita tersebut dan pasukannya berjalan di dalam kedai selama lebih sejam sambil memegang produk untuk dipesan oleh penonton semasa siaran langsung.

Pengawal keselamatan itu kemudian menghampiri dan memberitahu mereka bahawa siaran langsung tidak dibenarkan. Kumpulan itu bagaimanapun tetap meneruskannya.

Selepas siaran langsung selesai, penjual itu pergi ke kaunter perkhidmatan dan memanggil pengurus cawangan. Dia meminta untuk bertemu dengan pengawal keselamatan tersebut. Dia  mendakwa pengawal itu telah menolak barang yang dipegangnya.

Klip video berdurasi hampir 10 minit menunjukkan penjual itu menjerit dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, memaki hamun serta menuding jari ke arah pengawal keselamatan itu dari jarak dekat.

Pengawal tersebut menerangkan secara perlahan bahawa dia  hanya memberitahu kumpulan itu supaya tidak membuat penstriman langsung.

Pengurus kedai meminta maaf bagi pihak pengawal itu, namun penjual tersebut tetap mendesak mahukan permohonan maaf daripada pengawal keselamatan itu sendiri.

Pekerja  lain kemudian meminta pengawal itu memohon maaf bagi menamatkan pertikaian. Pengawal tersebut menundukkan kepala dan meminta maaf.

Penjual itu memuat naik klip video berkenaan di laman sosial miliknya.  Dalam video yang dirakam selepas beredar dari situ, rakannya memberitahu bahawa penjual yang mengadakan siaran langsung lain berhenti apabila diberi amaran oleh pengawal keselamatan, namun kumpulan mereka enggan akur.

Laman Facebook Luijeen  yang memantau media sosial berbahasa Cina, telah menyimpan klip video itu dan menyebarkannya. Laman sosial penjual tersebut kemudian menyekat komen dari Thailand, demikian menurut Luijeen.

Pengikut laman itu di luar negara melaporkan bahawa dia membuat siaran langsung semula semalam dari sebuah kedai lain di Thailand.

Luijeen mendakwa,  penjual itu memasuki Thailand  menggunakan pas lawatan sosial (pelancong) dan tidak mempunyai permit kerja. Pihak berkuasa masih belum mengesahkan status visanya.

Senarai Kementerian Tenaga Kerja sejak April 2020 melarang pekerjaan tertentu untuk warga asing, dan seorang warga Myanmar di Ranong telah ditahan bulan lalu atas kesalahan mengadakan jualan siaran langsung di bawah peraturan itu.

Netizen  Thailand mahu Makro melindungi kakitangannya dan melarang pelancong daripada membuat jualan menerusi siaran langsung di premis tempatan. 

Sesetengah  netizen pula  meminta Thailand menyenarai hitam  penjual tersebut. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN