DENGKIL- Sebuah bengkel kereta di Jalan Revolusi Hijau, di sini mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.57 pagi itu, kebakaran melibatkan bangunan bengkel kelas C berkeluasan 500 kaki persegi.
Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil tiba di lokasi pada pukul 11.02 pagi.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Cyberjaya serta BBP KLIA.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.42 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari.
“Kerja-kerja pemeriksaan dan pengalihan (overhaul) kemudian dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Katanya, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan enam jentera dari ketiga-tiga balai.
Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Jelasnya lagi, maklumat lanjut berhubung jumlah kenderaan yang terlibat dalam kebakaran itu masih dalam usaha mendapatkan pengesahan pihak bomba. -KOSMO! ONLINE














