PASIR MAS – Bapa dua beradik yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Bechah Tendong, dekat sini semalam, Saiful Nizam Ab Sani, 42, reda dengan pemergian anaknya walaupun terlalu sukar untuk menerima kehilangan berkenaan.
“Siapa sahaja yang melalui pengalaman kehilangan seperti ini pasti tahu perasaan saya sebagai bapa, sekelip mata hilang dua anak yang masih kecil dan sangat manja.
“Haider dan Hayyan sangat rapat, macam kembar… apa-apa yang buat mesti nak bersama, semalam pun Hayyan beria nak pergi jemput Haider di sekolah.
“Selalunya saya sendiri menjemput anak-anak di sekolah tapi semalam saya minta Haikal… tak sangka berlaku kejadian ini, sudah takdir Allah,” katanya ketika ditemui di di Tanah Perkuburan Islam Kubur Gaung Tendong, di sini, hari ini.
Saiful Nizam berkata, dia sedikit ralat kerana tidak menyediakan topi keledar buat anak-anaknya itu dan ketika kejadian hanya Muhammad Saiful Haikal mengenakan kelengkapan itu.
Justeru, dia berharap kejadian terbabit menjadi pengajaran kepada semua.
Terdahulu, suasana hiba mengiringi pengebumian dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kampung Bechah Tendong, dekat sini tengah hari semalam.
Jenazah Muhammad Saiful Haider Saifulnizam, 10, dan adiknya, Muhammad Saiful Hayyan yang berusia enam tahun selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kubur Gaung Tendong, di sini.
Terdahulu, jenazah dua beradik itu disolatkan di Masjid Al-Hanan Mukim Cabang Empat Tendong.
Kira-kira 300 individu hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk beberapa rakan sekolah dua kanak-kanak terbabit.
Hadir sama abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, yang turut terbabit kemalangan itu dengan berkerusi roda dan patah ibu jari kaki kanan serta cedera di tangan kanan.
Dalam kejadian pukul 1.45 tengah hari semalam, motosikal dinaiki dua beradik itu bersama abang sulung mereka terbabas dan bergesel dengan tiang lampu dan melanggar lubang.
Ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal menyebabkan Muhammad Saiful Haider maut di lokasi, manakala adiknya meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab Ii (HRPZ II), Kota Bharu.














