ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) di Johor telah dikenal pasti berisiko mengalami kekurangan sumber air mentah ketika fenomena El Nino berlaku tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kawasan yang terlibat melibatkan lima daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat.
​Katanya sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tempoh November 2026 hingga Jun 2027 dengan memberi keutamaan kepada kawasan tadahan yang membekalkan sumber air kepada 13 LRA berkenaan.
“Bagi tempoh Monsun Timur Laut iaitu November 2026, Disember 2026 dan Januari 2027 kerajaan negeri mencadangkan pelaksanaan adalah secara mingguan mengikut kesesuaian cuaca.
“Manakala bagi tempoh berikutnya selepas Monsun Timur Laut (MTL) melemah secara beransur-ansur, cadangan pelaksanaan akan disesuaikan dengan keadaan atmosfera dan keperluan sumber air semasa.
“Langkah ini bertujuan membantu meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan sebelum paras sumber air mengalami penyusutan yang lebih serius,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ng Yak Howe (PH-Bentayan) mengenai persediaan kerajaan negeri Johor bagi memastikan bekalan air bersih dan elektrik kekal mencukupi sekiranya fenomena Super El Nino berlaku pada awal 2027 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Mohamad Fazli berkata Kerajaan Negeri melalui Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Ranhill SAJ melaksanakan pemantauan harian paras empangan, sungai dan muka sauk LRA bagi membolehkan tindakan mitigasi diambil lebih awal.
Tambahnya antara langkah mitigasi yang dikenal pasti termasuk pemindahan air mentah Seluyut–Layang berkapasiti sehingga 300 juta liter sehari (JLH), pemindahan air dari Empangan Seluyut ke Empangan Lebam serta pengepaman tambahan bagi menyokong sumber air di Empangan Machap, Empangan Sembrong dan LRA Lok Heng.- KOSMO! ONLINE














