KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan apabila berjaya meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Kai Tak Arena sebentar tadi, pilihan kedua kejohanan itu menewaskan ‘adik seguru’, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.
Turun sebagai pasangan pilihan, Pearly-Thinaah tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-13, 21-19 dalam tempoh 35 minit.
“Mereka memberikan tekanan kepada kami sepanjang perlawanan menerusi serangan-serangan yang dilakukan dan memang sukar untuk bertahan.
“Bagi saya, kami hanya perlu keluarkan permainan sendiri selain kekal tenang. Ia sangat membantu kami hari ini,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Berdepan pemain junior, bekas naib juara dunia itu bermula cukup garang di set pertama apabila mendahului dengan jurang cukup besar 13-4.
Zi Yu-Noraqilah bagaimanapun tidak mudah mengalah apabila cuba merapatkan kedudukan 11-15, namun belum cukup untuk menghalang kemenangan Pearly-Thinaah.
Bersambung set kedua, aksi Zi Yu-Noraqilah lebih kemas apabila berjaya memimpin perlawanan 13-7 untuk meletakkan ‘kakak’ senior mereka dalam keadaan tertekan.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah membuktikan mereka lebih berpengalaman apabila menyamakan kedudukan 15-15 sebelum mengesahkan kemaraan ke final menerusi kemenangan 21-19.
Sebagai rekod, Terbuka Hong Kong merupakan penampilan kelima Pearly-Thinaah di pentas final musim ini selain sudah meraih dua gelaran pada Indonesia Masters dan Terbuka Denmark.
Menjelang aksi final esok, mereka dijadualkan bertemu beregu Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi yang menewaskan Amallia Cahaya Pratiwi-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia. – KOSMO! ONLINE














