KUALA KRAU – Kerajaan Pahang tidak melupakan sumbangan penjawat awam Persekutuan yang turut berperanan dalam pembangunan negeri ini meskipun tiada Bantuan Khas Kewangan (BKK) diumumkan khusus kepada golongan itu dalam Belanjawan Pahang 2027.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan berkenaan turut menikmati pelbagai manfaat menerusi inisiatif kerajaan negeri yang disediakan di bawah Aspirasi Pahang1st.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha berlaku adil kepada semua penjawat awam yang berkhidmat di Pahang, namun setiap pemberian perlu mengambil kira kemampuan kewangan semasa.
“Kita ada bagi dalam bentuk lain. Contohnya kepada cikgu-cikgu, kita beri kain batik dan menerusi Aspirasi Pahang1st, banyak juga yang kerajaan negeri sediakan.
“Sebenarnya kita tidak mampu hendak beri semua kepada penjawat awam Persekutuan kerana jumlah mereka terlalu ramai.
“Jadi, kita beri apa yang kita rasa mampu berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri dan kita beri pun seadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari Kuala Krau di sini hari ini ketika diminta mengulas reaksi segelintir penjawat awam Persekutuan yang mempersoalkan ketiadaan bantuan khas kepada mereka susulan pembentangan Belanjawan Pahang 2027 semalam.-KOSMO! ONLINE














