TAMPIN – Seorang wanita merayu bantuan orang ramai untuk mengesan waris sebelah bapa kandungnya bagi membantu urusan wali pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari tahun depan.
Norashida Ismail, 30, berkata, dia tidak pernah bertemu atau mengenali waris sebelah bapanya, Allahyarham Ismail Abdullah sejak dilahirkan.
“Sejak lahir, saya tak pernah bertemu bapa kandung. Jadi saya amat berharap dapat menjejaki waris sebelah arwah bagi menyelesaikan urusan berkenaan wali pernikahan saya kelak,” katanya.
Menurut Norshahida, bapanya, Allahyarham Ismail meninggal dunia pada 2 September 2012 ketika berusia 62 tahun.
Tambahnya, ibu bapanya telah bercerai pada 11 Jun 2009.
“Saya memerlukan bantuan waris sebelah bapa untuk urusan wali bagi membolehkan pernikahan berlangsung mengikut ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya lagi, alamat terakhir bapanya diketahui di Jalan SS 9/7, Jalan Sungai Way Baru.
Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat mengenai keluarga atau waris Ismail Abdullah, khususnya saudara-mara sebelah bapanya, diminta tampil membantu menghubungkan Norashida dengan keluarga berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Norashida melalui talian 017-884 2125 bagi membantu urusan pencarian itu.














