SIK – Seorang ibu tidak menyangka kehilangan dua anak dalam sekelip mata akibat rentung dalam kebakaran selepas meninggalkan rumahnya di Kampung Teloi Tua di sini pagi tadi.
Tragedi menyayat hati pada pukul 6 pagi itu meragut nyawa mangsa dikenali sebagai Aishah Umaira berusia setahun empat bulan, dan abangnya, Mohd Raifal, 3. Dua beradik itu ditemukan tidak bernyawa di atas katil di dalam premis berkenaan.
Menurut ibu mangsa yang enggan dikenali, dia menyedari rumahnya terbakar sebaik pulang dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.
Lebih memilukan, wanita itu dipercayai baru dua minggu pulang ke kampung dari Kuala Lumpur.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.11 pagi dengan kebakaran melibatkan bangunan pejabat yang dijadikan rumah.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.50 pagi, namun kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut masih diteruskan di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














