AARON dan Roy King berpeluang untuk merangkul gelaran kedua dalam tempoh sebulan apabila mengesahkan kemaraan ke pentas final Kumamoto Masters.

Aaron-Roy King selangkah rangkul gelaran kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRESTASI beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King terus melonjak pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun apabila berjaya meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto semalam, pasangan No.57 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-18, 21-18 ke atas beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Bertemu pasangan yang menghuni ranking lebih tinggi di kedudukan ke-14 dunia, Aaron-Roy King tidak menunjukkan rasa gerun apabila menampilkan corak permainan cukup agresif menerusi serangan demi serangan dilakukan.

Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan cukup sengit apabila kedua-dua beregu masing-masing enggan menyerah kalah sehingga membuatkan permainan menjadi menarik dan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Kejayaan melangkah ke pentas final sekali gus berjaya memenuhi impian jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai yang mahu melihat salah satu wakil Malaysia mara ke perlawanan akhir Kumamoto Masters.

“Dalam perlawanan hari ini (semalam), mereka berdua sangat fokus dan bermain dengan cukup bagus. Jika ada sedikit kesilapan ataupun hilang fokus, memang susah juga untuk catat kemenangan.

“Menjelang aksi final esok (hari ini), saya harap mereka boleh menjadi juara,” kata Kim Wai ketika dihubungi Kosmo! sejurus tamat perlawanan.

Sebagai rekod, ini merupakan final kedua Aaron-Roy King sejak mula digandingkan selepas turut melangkah ke perlawanan akhir ketika memenangi kejohanan Terbuka Arctic pada kejohanan kompetitif pertama mereka bulan lalu.

Menjelang perlawanan akhir hari ini, mereka dijangka berdepan cabaran sukar apabila perlu membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah yang merupakan bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN