KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa menelan hakikat cukup pahit apabila gagal melepasi aksi kelayakan pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto, Jepun hari ini, bekas juara All England itu terpaksa akur tewas 15-21, 10-21 kepada pemain tuan rumah, Minoru Koga dalam tempoh 32 minit.
Kekalahan dialami menyaksikan Zii Jia kempunan untuk melangkah ke undian utama selain menjejaskan misinya mengutip mata bagi memperbaiki ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ke kelompok 32 teratas.
Sementara itu, Koga pula berjaya melunaskan dendam selepas dia tewas kepada pemain No.40 dunia berkenaan pada pusingan kelayakan Terbuka Switzerland Mac lalu.
Kekalahan dialami Zii Jia boleh dianggap sedikit mengecewakan memandangkan dia berada pada momentum terbaik sebelum ini apabila melangkah ke separuh akhir kejohanan Terbuka Arctic bulan lalu.
Bagaimanapun, bekas pemain No.2 dunia itu berpeluang menebus kekecewaan tersebut menjelang Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India bermula 24 hingga 29 November ini.
Sebagai rekod, Zii Jia sudah lebih dua tahun kemarau gelaran Jelajah Dunia selepas kali terakhir memenanginya pada Terbuka Australia yang berlangsung Jun 2024. – KOSMO! ONLINE
















