KECOH satu Malaysia dan sosial media, semuanya gara-gara kemunculan patung emas gergasi dan penari berselubung merah yang gerak-gerinya disifatkan ‘ala-ala ritual’ pada konsert penyanyi popular Amerika Syarikat, The Weeknd di Bukit Jalil baru-baru ini.
Rakaman aksi di tengah pentas tersebut tular dalam media sosial sehingga ada yang mengaitkannya dengan dakwaan ‘pemujaan syaitan’.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan Puspal untuk meneliti dakwaan dan menyemak semula pematuhan syarat persembahan konsert yang berlangsung pada 4 dan 5 November lalu. Sebelum patung emas konsert The Weeknd menjadi buah mulut, aksi cium di atas pentas pernah menyebabkan baki dua hari sebuah festival dibatalkan, manakala sekeping gambar promosi pula mencetuskan pembatalan konsert.
Gala mengimbas lima kontroversi artis antarabangsa yang mengundang tindakan pihak berkuasa di Malaysia.

B1A4 – Peluk peminat, penganjur disenarai hitam
Rakaman anggota kumpulan K-pop B1A4 memeluk dan mencium peminat wanita bertudung ketika sesi bertemu peminat di KL Live pada 10 Januari 2015 mencetuskan kecaman.
Agensi kumpulan itu menjelaskan adegan tersebut sebahagian daripada segmen melakonkan semula babak drama Korea dengan persetujuan peserta.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegur penganjur supaya mematuhi garis panduan hiburan. Kerajaan kemudian mengesahkan syarikat penganjur, TGM Events, disenaraihitamkan kerana melanggar peraturan.
Susulan isu ini, Jakim serta agensi berkaitan memperketatkan pemantauan dan garis panduan penganjuran konsert artis luar negara bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

The 1975 – Cium pemain bes, festival terus dibatalkan
Malam pertama Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang bertukar kecoh apabila vokalis The 1975, Matty Healy mengkritik undang-undang Malaysia berkaitan LGBT sebelum mencium pemain bass kumpulan itu, Ross MacDonald, di atas pentas.
Keesokan harinya, kerajaan mengarahkan baki dua hari festival dibatalkan, manakala JK-Puspal telah menyenaraihitamkan kumpulan British itu daripada membuat persembahan di Malaysia.
Penganjur Good Vibes Festival di Malaysia kemudiannya memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kugiran dari United Kingdom The 1975 dan kesemua anggotanya di Mahkamah Tinggi UK.

Erykah Badu – Gambar kalimah Allah cetus pembatalan
Penyanyi soul Amerika Syarikat, Erykah Badu sudah berada di Kuala Lumpur apabila konsertnya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dibatalkan sehari sebelum persembahan pada Februari 2012.
Keputusan menyusul selepas sebuah akhbar tempatan menyiarkan gambar promosi penyanyi berkenaan dengan seni tubuh yang memaparkan kalimah Allah.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Datuk Seri Rais Yatim berkata, konsert tersebut dibatalkan kerana melanggar garis panduan Puspal berkaitan sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan.

Lamb of God – Permohonan konsert ditolak
Kumpulan heavy metal Amerika Syarikat, Lamb of God dijadualkan beraksi di Kuala Lumpur pada 28 September 2013. Jakim membantah persembahan itu selepas membangkitkan dakwaan bahawa kumpulan berkenaan pernah menggabungkan muzik metal dengan bacaan ayat al-Quran. Permohonan mengadakan konsert itu kemudian ditolak atas alasan sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

The Pussycat Dolls – Kostum, tarian undang kompaun
Konsert The Pussycat Dolls di Sunway Lagoon pada Julai 2006 mengundang tindakan Majlis Bandaraya Subang Jaya susulan aduan mengenai pakaian yang mencolok mata dan gerak tari yang dianggap keterlaluan.
Syarikat penganjur, Absolute Entertainment, dikenakan kompaun yang pada mulanya berjumlah RM10,000. Jumlah itu dikurangkan separuh selepas penganjur membuat bayaran awal.
















