TANJUNG MALIM – Seorang wanita maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta Honda City yang melanggar penghadang jalan di Kilometer (KM) 388, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim pada pukul 8.35 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kenderaan tersebut telah melanggar penghadang jalan lebuh raya tersebut.
“Terdapat tiga mangsa di dalam kenderaan tersebut iaitu wanita dewasa berumur 18 tahun yang maut di lokasi serta wanita, 20 tahun cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami kecederaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan awam,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang cedera dikendalikan kepada petugas kesihatan awam sementara mangsa yang maut pula dibawah tanggungjawab polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
















