KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor tidak tahu dakwaan dua wakil Datuk Seri Najib Razak hadir ke kompleks mahkamah untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap suaminya bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Rosmah berkata, dia tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung perkara itu, termasuk kemungkinan pembayaran denda berkenaan dilakukan.
“Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya ketika ditemui media selepas hadir bagi pengurusan kes solar hibrid di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Rosmah kemudian ditunjukkan tangkap layar laporan berita yang memaparkan tajuk mendakwa dua individu dipercayai wakil Najib dilihat meninggalkan kaunter pembayaran di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
“Mereka (media) selalu lebih tahu, tetapi selepas itu mereka tarik balik laporan berkenaan. Rupanya tak betul,” katanya secara berseloroh.
Terdahulu, Rosmah hadir pada pengurusan kes di Mahkamah Tinggi berhubung kes projek solar hibrid yang dihadapinya.
Beliau diiringi peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.
Spekulasi bertiup kencang sejak awal minggu ini bahawa wakil atau peguam Najib akan membuat pembayaran denda RM50 juta itu.
Ditanya mengenai perkembangan kutipan dana untuk membantu pembayaran denda berkenaan, Rosmah berkata, beliau tidak terbabit dalam urusan itu.
“Saya tidak tahu kerana saya tidak terbabit dalam perkara itu,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kutipan dana itu diuruskan sepenuhnya oleh UMNO, beliau menjawab: “Ya.”
Beliau kemudian meminta media mendapatkan penjelasan lanjut daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, perintah itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda RM50 juta berkenaan.
Susulan itu, UMNO melancarkan tabung ‘Dana Solidariti Najib Razak’ bagi mengumpul dana RM50 juta berkenaan menerusi sumbangan orang ramai, memandangkan aset peribadi Najib dan keluarganya masih dibekukan.
Pada 25 September lalu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa Najib tidak mempunyai wang RM50 juta untuk membolehkannya menjalani tahanan rumah.
















