KUALA LUMPUR – Empat dekad penuh gemilang, Ratu Rock Negara Ella mengakui tiada formula khusus untuk mengekalkan populariti atau terus relevan dalam industri hiburan tanah air.
Bagaimanapun, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 60, berkata, perkara paling asas dalam melayari kerjaya adalah menjaga kualiti vokal, persembahan, berdisiplin selain jangan sombong.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu faktor yang membolehkan saya dapat terus bertahan sehingga sekarang dalam bidang serba mencabar ini.
“Cuma saya jenis fokus menjaga kualiti dalam segala hal, jaga masa atau mungkin orang masih suka sebab lagu yang saya nyanyikan sampai di hati.
“Apabila orang suka, kita pun kena buat sehabis baik. Satu lagi, jangan menyombong kerana peminatlah yang bagi sokongan. Mungkin itu antara rahsianya,” katanya selepas program anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok, baru-baru ini.
Pada masa sama, demi memastikan stamina beraksi pada tahap maksimum, Ella mengakui sangat menjaga kesihatan serta kecergasan diri.
Bagi memastikan kecergasan fizikal dan mental, penyanyi lagu Permata Biru itu turut mengamalkan rutin senaman secara konsisten, selain memastikan pengambilan air mencukupi.
Akuinya, urusan di gimnasium lebih giat menjelang konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi.
“Saya tidak terikat dengan sejenis senaman sahaja, sebaliknya turut melakukan yoga, pilates dan tinju sebagai sebahagian daripada rutin kecergasan.
“Rasanya dah bertahun-tahun saya dapatkan khidmat jurulatih peribadi. Seronok sebab semua pasukan saya ikut sekali. Kena paksa juga supaya masing-masing bersemangat, jadi mereka pun perlu sihat.
“Sekarang kami makin berdisiplin ikut rutin lebih-lebih lagi menjelang Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup di Unifi Arena, Bukit Jalil,
pada 5 Disember ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















