SEBERANG PERAI – Seorang pemandu pelancong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki parang dan dadah di sebuah hotel di Bukit Mertajam awal bulan ini.
Tertuduh, S Leynon, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu parang sepanjang 52 sentimeter tanpa sebab yang sah di sebuah bilik hotel di Jalan Icon City, Bukit Mertajam pada pukul 6 petang, 1 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki kanabis seberat 110 gram di lokasi pada tarikh dan masa sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Firdaus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Disember ini bagi sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan laporan kimia.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan memiliki komponen senjata tiruan di sebuah premis Rent N Go Car Rental di Jalan New Ferry, antara 1 dan 30 September lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap. – KOSMO! ONLINE














