KEBAKARAN besar memusnahkan 305 rumah di Dusun Serdang, Bangka Belitung. – BPBD Bangka Belitung

Kebakaran hutan makin buruk, kampung di Indonesia hangus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Beratus-ratus petugas berterusan menyejukkan tanah gambut yang terbakar dan memusnahkan 305 rumah serta 50 bangunan burung walit di Dusun Serdang, wilayah Bangka Belitung, lapor akhbar Kompas.

Setakat semalam,  beberapa bantuan telah diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis  Bangka Belitung, Pesuruhjaya Agus Sugiyarso berkata,  proses penyejukan tanah gambut memerlukan pengendalian tambahan  dan masa yang lebih lama. 

Ciri  tanah gambut yang  mempunyai rongga di bawah permukaan memerlukan ia diisi dengan air.

“Kebakaran besar ini berjaya dipadamkan  awal pagi semalam. Bagaimanapun, beratus-ratus petugas  gabungan masih menyejukkan kawasan terjejas terutamanya di lokasi tanah gambut,” kata Agus.

Kebakaran dahsyat itu berlaku sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan), Sabtu lepas   yang bermula  daripada titik panas di kawasan tanah gambut.

Api  merebak pantas ke kawasan perumahan yang padat dengan penduduk berikutan angin kencang. Keadaan menjadi lebih buruk kerana kebanyakan rumah dibina daripada kayu atau bahan mudah terbakar lain, manakala  jarak antara bangunan  pula adalah sangat dekat. 

Kebakaran di kawasan seluas kira-kira 8.3 hektar itu mengakibatkan kerugian harta benda yang amat besar kepada  masyarakat. 

Sebanyak  305 kediaman dan 50 bangunan burung walit musnah  dengan anggaran nilai kerugian mencecah  2 bilion rupiah (RM460,000).  Walaupun tiada kemalangan jiwa, bencana itu  menjejaskan kehidupan kira-kira 400 keluarga atau  sekitar 1,600 orang  yang hilang  tempat tinggal dan harta benda.

Majoriti penduduk terjejas memilih untuk berpindah ke rumah saudara-mara berdekatan demi keselesaan. Namun, kira-kira 50 penduduk ditempatkan di dua pusat perlindungan sementara tidak jauh dari kawasan terjejas termasuk sebuah masjid.

Pemangku ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD),  Agus Afandi berkata, bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang,  BPBD bersama agensi berkaitan aktif mendidik orang ramai supaya tidak membersihkan tanah gambut dengan cara membakar, mengelakkan pembakaran sampah tanpa pengawasan atau membuang puntung rokok merata-rata. 

Menurutnya, kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut d  Bangka Belitung kerap berpunca daripada perbuatan  manusia. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN