KUALA LUMPUR – Seorang lelaki membuat laporan polis selepas kereta Toyota Alphard miliknya yang disewakan kepada seorang individu gagal dipulangkan selepas tamat tempoh sewaan pada 15 September lalu.
Menurut pengadu dikenali Cheah, seorang individu memperkenalkan diri sebagai ‘Aaron Tiyagarajan’ menghubunginya menerusi WhatsApp dan mendakwa diperkenalkan oleh rakannya, Dinesh untuk tujuan menyewa kereta.
Katanya, individu terbabit turut menghantar salinan MyKad menerusi WhatsApp sebelum mengambil kereta berkenaan di Bandar Mahkota Cheras kira-kira pukul 7 malam pada pada 1 September lalu
“Individu itu memaklumkan mahu menyewa kereta berkenaan selama dua minggu dan membayar RM1,500 seminggu, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000.
“Kereta itu sepatutnya dipulangkan pada 15 September lalu, namun sehingga tempoh sewaan berakhir, kenderaan berkenaan tidak dikembalikan.
“Saya cuba menghubungi ‘Aaron’ untuk mendapatkan semula kereta berkenaan, namun dia memberikan pelbagai alasan dan terus menangguhkan pemulangan,” katanya, di sini hari ini.
Menurutnya, dia kemudian mendapati alat pengesan GPS yang dipasang pada kenderaan berkenaan telah dimatikan tanpa kebenarannya.
Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Putra Perdana pada 24 September lalu kerana bimbang kenderaannya digunakan bagi melakukan kesalahan jenayah, dipindahkan kepada pihak lain atau disalahgunakan. – KOSMO! ONLINE














