SEREMBAN – Kebanyakan daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah memulangkan baki peruntukan yang masih ada sebelum 10 Julai lalu.
Ketua Pembangkang yang juga ADUN Nilai, J. Arul Kumar berkata, pihaknya telah mengemukakan laporan peruntukan pada 30 Jun seperti diarahkan, manakala peruntukan yang masih berbaki turut dipulangkan selepas itu.
Beliau yang juga bekas Exco berkata, surat berkenaan memaklumkan supaya dapat mengemukakan semua laporan perbelanjaan dan agihan peruntukan pengurusan pusat khidmat dan peruntukan kesejahteraan rakyat sehingga 30 Jun 2026.
“Jadi kita ikut arahan. Selepas 30 Jun kita tidak lagi berbelanja. Kalau ada baki dalam akaun pusat khidmat, kita pulangkan. Saya sendiri mempunyai peruntukan kira-kira RM47,000 dan saya sudah pulangkan pada 10 Julai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kesukaran timbul apabila peruntukan bagi tempoh Julai hingga September sebagaimana diminta kerajaan negeri supaya dipulangkan mengikut pecahan bulan, sedangkan sebelum ini peruntukan diterima secara suku tahun tanpa arahan menetapkan jumlah tertentu perlu dibelanjakan setiap bulan.
“Peruntukan ini diberi mengikut suku tahun, terpulang kepada ADUN bagaimana hendak menguruskan dan menyalurkannya.
“Kita tidak dimaklumkan bahawa peruntukan itu perlu dipecahkan mengikut bulan. Kalau sudah dibelanjakan untuk membantu rakyat, bagaimana hendak ambil semula duit itu?” katanya.- KOSMO! ONLINE














