fbpx
Gambar hiasan

Bekas COO TH didakwa terima kos ubah suai tiga rumah lebih RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima kos pengubahsuaian tiga buah rumah bernilai RM302,499.27, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Adi Azuan Abdul Ghani, 56, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima sesuatu yang berharga sebagai balasan yang diketahuinya tidak mencukupi, iaitu kos pengubahsuaian tiga rumah masing-masing RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.

Kesemua kos pengubahsuaian itu diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn. Bhd., Thamsulazri Ismail yang diketahui mempunyai kaitan dalam urusan yang dijalankan tertuduh

Kesalahan itu dilakukan di tiga buah rumah di Seksyen 13 di sini, Kota Damansara dan USJ 2, Subang Jaya pada 17 Mac 2017.

Sabit kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM70,000 berserta syarat tambahan.

Namun peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung empat anak lelaki berusia 12 hingga 25 tahun yang masih belajar.

Katanya, anak guamnya bersara tahun lalu dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan pada 2018 dan bulan lalu.

“Keputusan siasatan SPRM pada 2020 mendapati tiada penemuan salah, namun disiasat lagi sehingga membawa kepada pertuduhan pada hari ini.

“Tertuduh juga memerlukan rawatan penyakit jantung. Kami turut memohon agar pasport tidak ditahan kerana tertuduh hendak menunaikan umrah dan jaminan sekitar RM30,000,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November ini.

Kosmo! pada 3 September lalu melaporkan pertuduhan ke atas bekas COO TH terpaksa ditangguhkan selepas tidak hadir ke mahkamah susulan menerima rawatan berkaitan jantung di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC).

Sebelum ini, tujuh individu terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH ditahan bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja TH. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN