KOTA BHARU – Seorang bekas timbalan pengurus anak syarikat Tabung Haji (TH) didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah hasil kutipan penalti daripada kontraktor berjumlah RM14,000 melibatkan projek membina dan menyiapkan bangunan komersial setinggi 22 tingkat milik TH pada 2018.
Tertuduh, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Lelaki itu didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap, 53, yang juga Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah secara tidak jujur dengan menyalahgunakan harta dan memasukkan wang RM14,000 ke dalam akaun bank sendiri hasil kutipan penalti ke atas kontraktor, Kelpile Sdn. Bhd.
Kutipan itu melibatkan projek cadangan membina dan menyiapkan bangunan komersial 22 tingkat terdiri daripada 244 pangsapuri, kediaman tingkat teratas (empat unit), kemudahan awam (aras tujuh), ruang perniagaan (dua tingkat), tempat letak kereta (lima tingkat), aras bawah tanah tambahan (satu tingkat) dan kemudahan berkaitan di Lot 273, Seksyen 12, di sini.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Sofea Residensi, Seksyen 12 di sini antara 15 November 2017 dan 8 Ogos 2018.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, Fahmi Abd. Moin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Tengku Kamarolhisham membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE
















