PETALING JAYA – Pemandangan bangunan-bangunan pencakar langit di ibu negara yang kebiasaannya jelas kelihatan, ‘hilang’ diselubungi jerebu tebal pagi ini.
Keadaan itu dikongsi beberapa pengguna Threads yang meluahkan kebimbangan terhadap tahap jerebu sehingga jarak penglihatan di sekitar Kuala Lumpur terjejas.
Seorang pengguna, @nibukanyon berkata, keadaan itu jelas dapat dilihat apabila bangunan di luar tingkap langsung tidak kelihatan seperti kebiasaannya.
“Takkan sorang pun ahli politik atau majikan tak tengok luar tingkap hari ini. Sampai bangunan hilang, teruk sangat dah.
“Boleh je kot bagi WFH (bekerja dari rumah) atau online class (kelas dalam talian) sekejap daripada paksa orang hirup asap,” katanya.
Turut berkongsi keadaan sama, @justcallmeremy berkata, dia yang sebelum ini dapat melihat Menara Kuala Lumpur dari lokasi kediamannya, namun pagi ini mercu tanda itu seperti hilang dari pandangan.
“Teruk gila jerebu pagi ni, selalu nampak KL Tower (Menara Kuala Lumpur). Hari ini tak nampak dah.
“Tempat korang okey tak cuaca pagi ni? Jaga diri semua, pakai pelitup muka tau,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Ddnx11 turut berpandangan penutupan sekolah sahaja mungkin tidak mencukupi sekiranya keadaan jerebu terus berada pada tahap teruk.
“Kalau teruk macam ni jerebu, bukan takat sekolah je kena tutup, pejabat pun kena tutup ni,” katanya.
Tinjauan gambar yang dikongsikan pengguna turut memperlihatkan perbezaan ketara pemandangan ibu negara pada pagi ini berbanding hari biasa, apabila deretan bangunan dan mercu tanda Kuala Lumpur kelihatan samar-samar diselubungi asap.
Sementara itu, berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 9.26 pagi hari ini, sebanyak 16 kawasan di tujuh negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Antara kawasan terlibat adalah Sarawak (Sri Aman, IPD Serian dan Samarahan), Negeri Sembilan (Nilai dan Seremban), Kuala Lumpur (Cheras dan Batu Muda), Selangor (Shah Alam, Johan Setia, Banting, Klang dan Petaling Jaya), Johor (Tangkak) serta Melaka (Bukit Rambai dan Alor Gajah).- KOSMO! ONLINE














