SELEPAS dua tahun bermain dram, Addib semakin serasi dengan alat muzik berkenaan.

Addib impi jadi pemain dram profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bunyi dentuman dram sering menjadi nadi yang menghidupkan sesebuah persembahan muzik.

Pukulan pada setiap bahagian dram akan menghasilkan rentak berbeza. Jadi, alat muzik itu memerlukan koordinasi, ketepatan dan latihan yang konsisten untuk dikuasai.

Bagi Addib Fayyad Mohd. Faizal, dram bukan sekadar alat muzik yang menghasilkan bunyi, sebaliknya ia menjadi hobinya sejak tiga tahun lalu.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sin Min, Simpang, Perak itu mula bermain dram pada 2024, dan kini dia terus berusaha meningkatkan kemahirannya.

Menurut remaja yang mesra disapa Addib itu, dia mempunyai kecenderungan yang lebih mendalam terhadap dram berbanding alat muzik lain.

“Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap dram sejak kecil. Sebab itu, saya memilih dram berbanding alat muzik lain,” katanya.

Menurut Addib, bapanya merupakan antara individu yang memperkenalkannya dengan dunia muzik.

Selain itu, dia mendapat bimbingan daripada seorang guru muzik, Benson dalam kelas Ophus Muzik di Taiping.

Ketika baru belajar, Addib tidak mempunyai keyakinan untuk bermain dram. Ini kerana, dia berasa gementar dan kekok ketika pertama kali mencuba alat muzik berkenaan.

Bagaimanapun, perasaan itu semakin hilang selepas dia membiasakan diri dengan dram dan menjalani latihan secara berterusan.

Menariknya, Addib kini mempunyai set dram sendiri di rumah yang dibelikan oleh bapanya untuk tujuan latihan.

Katanya, dia berlatih sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari seminggu, manakala kelas dram di Ophus Muzik pula diadakan pada setiap Ahad.

Addib mempunyai set dram sendiri di rumah, sekali gus memudahkannya berlatih.

Selebihnya, Addib meneruskan latihan sendiri di rumah pada waktu petang selepas selesai menyiapkan kerja sekolah.

Rutin itu membolehkannya membahagikan masa antara pelajaran dan hobi, tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar sekolah.

“Pada waktu pagi, saya ke sekolah seperti biasa. Kerja rumah saya siapkan sebelum bermain dram pada waktu petang.

“Selepas semua kerja sekolah selesai, barulah saya boleh main dan membuat latihan dram dengan lebih selesa,” katanya.

Dalam proses mempelajari dram, Addib mengakui, antara cabaran yang dihadapinya adalah ketika baru mengenali kod dan asas permainan alat muzik tersebut.

Meskipun pernah berasa ingin putus asa pada peringkat awal, namun sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan bapanya membuatkan Addib kembali bersemangat untuk meneruskan latihan.

Antara lagu yang pernah dipelajari Addib termasuk Hot Pants oleh James Brown dan Island in the Sun (Rivers Cuomo).

Dia turut meminati muzik bergenre evergreen dan pop rock serta mengagumi kumpulan tempatan seperti Spider serta Bunface.

Walaupun belum pernah membuat persembahan secara rasmi, namun Addib bakal mendapat peluang menimba pengalaman di atas pentas apabila dijadual menyertai

Program Semarak Seni dan Teater Bulan Kemerdekaan di Lenggong, Perak.

Menurut Addib, aktiviti yang bermula sebagai hobi kini mula berkembang menjadi impian untuk melangkah lebih jauh dalam bidang muzik.

“Pada mulanya, saya fikir bermain dram hanya sekadar hobi, tetapi apa salahnya jika saya bercita-cita menjadi pemain dram profesional pada suatu hari nanti.

“Perjalanan saya masih jauh. Apa yang perlu saya tumpukan sekarang adalah meningkatkan kemahiran agar dapat menjadikan aktiviti ini sebagai satu kerjaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN