IPOH – Tiga buah kilang yang diserbu Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion 18 PGA pada Isnin lalu dipercayai tidak mempunyai lesen khas untuk menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga premis tersebut mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun tiada lesen khas untuk memproses sisa elektronik.
“Mungkin mereka berselindung dengan menjalankan operasi perniagaan secara normal seperti kotak (proses), logam dan kitar semula.
“Bagaimanapun, untuk memproses sisa elektronik (e-waste) mereka perlu memiliki lesen khas, sekiranya tiada (lesen) ia merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Utara PGA di sini hari ini.
Katanya, aktiviti memproses sisa elektronik tanpa lesen bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan besar terhadap alam sekitar dan masyarakat.
Katanya, pada Isnin lalu, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan menyerbu tiga kilang disyaki menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik tanpa kelulusan di sekitar Ipoh.
Dalam operasi itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan dan lapan lelaki serta empat wanita Myanmar yang berusia 20 hingga 50 tahun.
“Kita merampas sebanyak 120,220 kilogram (kg) sis elektronik campuran, mesin dan jentera yang digunakan untuk memproses sisa berkenaan selain sebuah treler dan dua buah trak angkat susun membabitkan nilai rampasan berjumlah RM9.3 juta,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18(1), 25(1), 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 – KOSMO! ONLINE
















