fbpx
Zuhan (dua dari kiri) memasak bubur asyura di PDM Taman Ilham, DUN Mahkota di Kluang baru-baru ini.

Kluang bandar ilmu aspirasi Dr. Zuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan ­Negeri (DUN) Mahkota, Ts. Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain atau di kenali sebagai Dr. Zuhan berhasrat menjadikan Kluang sebagai sebuah bandar ilmu sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut beliau, pembangunan sektor pendidikan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan pelajar, malah turut mencipta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Katanya, Kluang mempunyai asas yang kukuh untuk direa­lisasikan sebagai hab pendidikan kerana memiliki banyak sekolah berprestasi tinggi, namun masih kekurangan institusi pengajian tinggi yang membolehkan pelajar menyambung pengajian tanpa perlu berhijrah ke bandar lain.

“Ramai anak Kluang mendapat pendidikan di sekolah-sekolah terbaik, tetapi selepas tamat persekolahan mereka terpaksa keluar untuk menyambung pengajian di peringkat diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah kerana peluang itu tiada di sini.

“Sebab itu saya mahu membawa aspirasi menjadikan Kluang sebagai bandar ilmu dengan menarik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) membuka cawangan di daerah ini,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! sempena kempen PRN Johor di sini.

Beliau berkata, sekiranya di­pilih sebagai wakil rakyat, usaha akan dilakukan bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mengadakan kerjasama dengan institusi pendidikan termasuk melalui anak syarikat universiti untuk membuka kampus atau pusat pembelajaran di Kluang.

Menurutnya, penawaran kursus juga perlu selari dengan ke­perluan industri masa depan dengan memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pendigitalan serta teknologi baharu yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Beliau yakin langkah itu mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dari Kluang sekali gus membolehkan anak tempatan memperoleh pekerjaan bergaji tinggi tanpa perlu berhijrah ke Johor Bahru atau Singapura.

“Apabila mereka dapat be­kerja di Kluang dengan pendapatan yang setanding, mereka akan ­memilih untuk terus menetap bersama keluarga. Secara tidak langsung mereka akan me­nyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah ini.

“Selain itu, kehadiran ribuan pelajar dari daerah sekitar se­perti Paloh, Kahang, Mersing, Segamat, Yong Peng dan Labis akan mewujudkan permintaan terhadap rumah sewa, premis makanan, pengangkutan serta pelbagai perkhidmatan lain,” katanya.

Tambah Zuhan, limpahan ekonomi itu bakal memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha rumah sewa dan usahawan tempatan apabila aktiviti ekonomi di bandar Kluang menjadi lebih rancak hasil pertambahan komuniti pelajar.

Dalam masa sama, Zuhan berkata, aspek kemudahan asas tidak akan diketepikan kerana rakyat tetap memerlukan penyelesaian terhadap isu jalan raya, sistem perparitan, banjir serta penyelenggaraan infrastruktur di kawasan DUN Mahkota.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN