ATLANTA – Pengendali Mesir, Hossam Hassan tidak mampu menahan marah apabila mendakwa pasukannya seperti dipaksa berada dalam skrip yang bakal mengangkat Argentina sebagai juara Piala Dunia 2026.
Walaupun kenyataan itu mungkin mengundang tindakan terhadapnya, namun Hassan menegaskan, pasukannya terpaksa menerima layanan tidak adil ketika tewas 2-3 kepada La Albiceleste di pusingan 16 terbaik awal pagi semalam.
Hassan merujuk kepada satu jaringan pasukannya yang dibatalkan pengadil bertugas, Francois Letexier selain pegawai perlawanan tidak menilai semula Video Bantuan Pengadil (VAR) membabitkan insiden kekasaran dalam kotak penalti di penghujung permainan.
“Saya tidak tertarik dengan keputusan dibuat. Saya tidak mahu tampilkan imej baik dengan menggunakan kata-kata yang cantik, memilih ungkapan manis dan berkata kami bernasib malang.
“Kami dilayan secara tidak adil dan kami menderita kerana ketidakadilan yang meninggalkan kesan kepada kami. Saya akan katakan apa yang berada dalam fikiran saya tanpa mengira akibatnya.
“Jelas sekali perlawanan ini ‘dirancang’ dan seluruh dunia dapat menyaksikannya. Satu perkara lagi yang saya mahu katakan, jika kamu mahukan Argentina bergelar juara, kenapa jemput semua pasukan mengambil bahagian,” katanya.
Hassan menegaskan, pasukannya tampil lebih baik berbanding Argentina, namun keputusan ditentukan oleh faktor luaran.
“Ia seperti ada tekanan daripada Argentina terhadap pengadil hingga berlaku keputusan seperti ini. Saya juga berani katakan yang membuat jadual perlawanan ini adalah mereka yang tidak pernah bermain bola sepak.
“Mungkin ada sesuatu yang disembunyikan. Adakalanya, perkara yang mahu disembunyikan tidak lagi mampu disorok,” ujarnya yang turut dilayangkan kad kuning. – AGENSI














