PAPAR – Kementerian Kewangan memaklumkan lebih 220,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara telah memohon dan menerima peningkatan kuota Budi Diesel kepada 300 liter sebulan setakat semalam.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan kuota daripada 200 kepada 300 liter itu menerusi mekanisme diwujudkan kerajaan dalam memastikan pemberian subsidi bersasar sampai kepada golongan sasar.
“Malahan kita juga meluaskan kategori kenderaan yang layak termasuk pikap dan jip kerana kita memahami kenderaan ini banyak digunakan oleh peniaga untuk mengangkut barangan dan penumpang. Kelonggaran turut membolehkan kuota dipindahkan kepada pengguna sebenar walaupun pembiayaan kenderaan dibuat atas nama ahli keluarga lain,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Turun Padang BSN Micro Financing Tamu Papar di sini semalam.
Sementara itu, Amir Hamzah juga menyatakan pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk meneliti mekanisme bersesuaian bagi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel terutama membabitkan keperluan penduduk kawasan pedalaman. – KOSMO! ONLINE














