fbpx
Lokasi kejadian di Kilometer 135, Lebuh Raya arah Utara berhampiran Muar. Foto PDRM

Penunggang motosikal maut langgar lori ubah haluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 135, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang pembonceng berusia 19 tahun dipercayai sedang bergerak lurus di lorong kiri lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori yang berada di hadapan motosikal terbabit dipercayai telah mengubah haluan ke lorong kecemasan sebelum berlaku pelanggaran.

“Sejurus selepas itu, motosikal berkenaan melanggar bahagian lampu belakang kanan lori tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pembonceng motosikal hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar bagi menerima rawatan.

Katanya, pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian saringan alkohol dan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu lori didapati negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN