KOTA TINGGI – Walaupun sudah bergelar mantan, penangan ‘air tangan’ bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili selama tiga penggal, Rasman Ithnain didakwa masih melekat di hati penduduk setempat.
Perkara itu diakui sendiri oleh beliau yang kini kembali ke gelanggang politik sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sedili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Masuk hari kelima berkempen, Rasman berkongsi bahawa kehadiran semulanya disambut dengan luahan rasa rindu daripada pengundi.
”Memang saya tak dapat nafikan ramai dikalangan yang kenal saya, dia suka saya, dia merindui air tangan saya. Kerana selalunya di kawasan Felda atau di kawasan kampung tradisional ini, saya banyak buat event-event yang luar biasa.
”Macam program memikat burung terkukur yang melibatkan satu Malaysia datang, 1,000 lebih peserta terdiri dari peserta profesional seperti jurutera, peguam, doktor. Selain itu, saya pernah buat acara besar melibatkan peminat-peminat kereta antik Volkswagen. Saya buat di peringkat Asia, berkumpul dekat Pantai Jason Bay, begitu juga kawasan-kawasan Felda,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas beramah mesra dengan penduduk Kampung Batu 1 di sini hari ini.
Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi itu menjelaskan, timbul rasa ralat apabila melihat banyak perancangan pembangunan yang dirancangnya di kawasan itu tergendala, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk beliau menawarkan diri merebut kerusi itu. – KOSMO! ONLINE














