SUNGAI PETANI – Seorang nelayan lemas, manakala lima rakannya berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar berhampiran Pulau Sayak, di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Amin Izham, 27, dari Kampung Masjid, Tanjung Dawai yang pada mulanya memegang tali selepas bot terbalik dilihat tenggelam timbul sebelum hilang dibawa arus.
Bagaimanapun, tindakan pantas sekumpulan nelayan yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke pangkalan berjaya menarik mangsa daripada dihanyutkan lebih jauh.
Namun, anak ketiga daripada lima beradik itu disahkan meninggal dunia sebaik dinaikkan ke bot nelayan yang membantunya, manakala lima rakannya selamat.
Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Hassan berkata, kejadian ombak besar berlaku pada pukul 12 tengah hari ketika mereka dalam perjalanan pulang dari perairan Batu Maung, Pulau Pinang ke Tanjung Dawai selepas memukat ikan.
“Kami keluar ke laut sejak pukul 6 pagi tadi dan kejadian ombak besar dan angin kencang berlaku semasa menghampiri Pulau Sayak. Bot yang dinaiki terbalik menyebabkan keenam-enam kami terjatuh ke dalam laut,” katanya.
Menurut Hassan, dia dan empat rakannya sempat berpaut pada badan bot, manakala Muhammad Amin memegang tali dan berada agak jauh daripada mereka.
“Kami melihat dia tenggelam timbul sebelum hilang. Dalam masa sama terdapat sebuah bot nelayan lain menghampiri kami dan membantu menaikkan Amin ke dalam bot mereka.
“Kami berlima berjaya diselamatkan, namun didapati sudah tidak bernyawa sebaik dinaikkan ke bot,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 12.10 tengah hari.
“Kejadian melibatkan kematian seorang nelayan, manakala lima rakannya berjaya diselamatkan. Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














